Tanggal 18 Februari 2003, tarikh hitam yang tercatat dalam sejarah hidup penduduk Kalimantan. Tarikh itu merupakan detik di mana tercetusnya konflik antara warga migran Madura dan suku peribumi Dayak. Perang ini dinamakan sebagai tragedi SAMPIT, merujuk kepada nama sebuah bandar di Kalimantan.
Ketika perang tercetus, Sampit iaitu sebuah bandar yang sebelumnya aman dan tenteram telah bertukar menjadi kacau-bilau. Ketika itu, tiada lagi istilah selamat di sini. Yang ada hanyalah pemandangan ngeri dan menakutkan.
Mayat-mayat tanpa kepala bergelimpangan, rumah dibakar, bekalan elektrik terputus dan suara jeritan kedengaran di setiap penjuru tanpa henti.
Bermula di Sampit, konflik kemudian merebak sehingga ke seluruh wilayah Kalimantan termasuk Kalimantan Tengah dan Pelangka Raya. Perang yang tidak menemukan jalan perdamaian menyebabkan konflik tersebut berlangsung sepanjang tahun itu.
Akibatnya, ramai yang terkorban di mana lebih daripada 500 kematian dan kira-kira 100 ribu orang Madura kehilangan tempat tinggal.
Apakah penyebab tercetusnya konflik antara kedua-dua etnik tersebut?

Tragedi Sampit tidak menemukan jalan perdamaian menyebabkan konflik berlangsung sepanjang tahun itu
Terdapat banyak versi cerita tentang bagaimana tragedi Sampit berlaku. Ada mengatakan, orang-orang Madura telah memulakan perkelahian itu. Manakala versi lain pula memberitahu bahawa suku Dayak ialah punca segala-galanya.
Daripada pelbagai pendapat itu, tragedi Sampit sebenarnya bermula dengan permasalahan kecil yang mana boleh diselesaikan secara rundingan tanpa mengorbankan ratusan nyawa. Akan tetapi, kerana tiada jalan penyelesaian, masalah kecil yang berlaku secara berulang-ulang dan berlarutan itu telah membawa kepada konflik besar.
Ini adalah antara rentetan kes-kes yang dikatakan pencetus kepada rusuhan. Pada tahun 1972, seorang gadis Dayak telah digoda dan diperkosa oleh warga Madura. Seorang warga Madura turut membunuh seseorang dari suku Dayak pada tahun 1982. Setahun kemudian, seorang daripada etnik Dayak dikeroyok oleh 30 orang Madura sebelum dibunuh.
Tahun berikutnya, sekitar 1996, seorang gadis Dayak dirogol lagi oleh orang Madura sebelum dibunuh dengan kejam, tetapi pesalah hanya dikenakan hukuman ringan.
Setahun kemudian, seorang kanak-kanak lelaki suku Dayak telah mati dibunuh oleh warga Madura. Paling sadis, pada tubuh anak itu terdapat lebih daripada 30 kesan tikaman, tapi si pembunuh berjaya melarikan diri.
Tahun 1998, empat orang migran Madura sekali lagi membantai suku Dayak. Mangsa dilaporkan mati, tetapi pelakunya tidak dapat ditangkap.
Kes pembantaian berlaku lagi di mana dua orang Dayak dikeroyok oleh beberapa orang Madura pada tahun 1999. Punca pergaduhan ialah disebabkan masalah perebutan tanah. Kedua-dua mangsa mati, manakala pembunuh lolos.
Tahun yang sama, terjadi lagi konflik antara suku Dayak dan Madura, gara-gara mengambil emas dari penambang emas Dayak. Akibatnya ramai terkorban tanpa ada penyelesaian. Pada tahun tersebut juga, orang Dayak telah menikam sepasang suami isteri warga Madura menyebabkan pasangan itu cedera teruk.
Susulan kes itu, pada tahun 2000, orang Madura bangkit membalas dendam. Dilaporkan sebuah keluarga suku Dayak telah mati dibantai oleh orang Madura. Pelaku lari dan kes tidak dapat diselesaikan.
Kes serupa berlaku lagi pada tahun yang sama di mana orang Madura membantai sebuah keluarga etnik Dayak, tetapi pesalah tidak menerima sebarang hukuman. Tidak habis di situ, seorang warga Dayak mati dikeroyok oleh orang Madura dan seperti biasa pelaku tidak dihukum.
Rentetan daripada kes-kes yang tidak mempunyai penyelesaian itu, akhirnya perang Sampit tercetus pada 18 Februari 2001.
Namun sebelum tercetusnya tragedi berdarah itu, konflik dikatakan telah bermula daripada pergaduhan pelajar sekolah, melibatkan anak suku Dayak dan Madura. Masalah itu kemudian bertambah besar selepas ibu bapa mencampuri pergaduhan anak-anak mereka hingga akhirnya memicu kepada konflik antara keluarga dan antara etnik.
Daripada analisis yang dilakukan oleh Profesor H.K.M.A Usop, bekas Rektor Universiti Palangka Raya, beliau mengakui tragedi Sampit telah merugikan banyak pihak. Daripada kes-kes sebelum ini, setiap kali terjadi perselisihan selalu diakhiri dengan perdamaian. Akan tetapi, setiap kali itu jugalah warga Madura melanggarnya.
Penduduk Madura pertama kali tiba di Kalimantan pada tahun 1930 di bawah program transmigrasi yang dicanangkan oleh pemerintah Belanda dan diteruskan oleh pemerintah Indonesia.

Penempatan transmigran di pedalaman Kalimantan dikatakan telah mengakibatkan ekologi hutan terganggu. Hutan bagi masyarakat Dayak ialah tempat tinggal dan nyawa mereka. Bagaimanapun, para pendatang telah banyak membuat masalah dengan melakukan penebangan hutan secara berleluasa dan mengambil tanah-tanah milik orang Dayak.
Tindakan para pendatang yang tidak menghormati penduduk asal ini dikatakan antara permulaan konflik di antara mereka. Ironinya, sejak peristiwa hitam itu berakhir, Sampit mengalami perkembangan yang pesat dalam bidang ekonomi dan industri. Kini, Sampit menjadi sebuah bandar yang aman dan selamat serta penduduknya hidup dalam keadaan harmoni.

Walaupun hampir dua dekad tragedi hitam ini berlalu, namun bagi masyarakat di Kalimantan, Indonesia, terutama mereka yang pernah terlibat atau menyaksikan sendiri tragedi Sampit, ingatan terhadap insiden berdarah itu meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri mereka.