“Saya bukan main jin!” Tok Dewata bongkar rahsia seni persembahan ‘Main Teri’

Dari Penulis

Nama Tok Dewata kembali menjadi bualan hangat apabila seni persembahan Main Teri yang melibatkan beliau tular di media sosial. 

Namun di sebalik perhatian yang diterima, muncul juga pelbagai tuduhan dan kecaman, tanpa usul periksa. 

Ada yang mendakwa kononnya Tok Dewata mengamalkan pemujaan, bermain dengan jin malah melakukan perkara yang bertentangan dengan ajaran agama.

Bagi Tok Dewata, tuduhan tersebut amat mengecewakan kerana ramai membuat kesimpulan tanpa terlebih dahulu bertanya atau mendapatkan penjelasan sebenar.

Main Teri tidak libatkan jin

Menurut beliau, apa yang dipersembahkannya baru-baru ini bukan lagi ritual lama seperti yang sering digambarkan oleh masyarakat.

“Sebenarnya, ini bukanlah satu upacara apa-apa, tetapi ini dinamakan Main Puteri atau Main Teri.

“ Main Teri ini adalah mainan orang zaman dulu yang nak merawat masalah psikologi. 

“Ada segelintir masyarakat dan ustaz, mereka salah paham dan  ingat jin masuk dalam badan kita. Salah. Tidak benar sama sekali.

“Di sini saya terangkan. Apabila kita belajar tentang DNA, DNA manusia ni, kadang-kadang yang nak komen tu biarlah belajar sains. 

“Salah satu DNA tu kita panggil psychology down through. Maksudnya fikiran kita ni menurut atau ada pengaruh nenek atuk kita dulu.

“Main Teri ini, permainan untuk keturunan dia sahaja. Main Teri ini sama macam main Mek Mulung di Kedah. 

“Hanya keturunan dia sahaja boleh main benda ni sebab dia ada ‘rasa’. Dalam masa yang sama kita sedar apa yang kita lakukan. Bukan dimasuki jin atau makhluk lain. Tiada unsur itu langsung,” katanya. 

Tiada unsur pemujaan

Tok Dewata menjelaskan bahawa masyarakat sering tersalah tafsir apabila melihat pemain  seolah-olah berada dalam keadaan khayal atau tidak sedarkan diri.

Hakikatnya, menurut beliau, para pemain masih berada dalam keadaan sedar dan hanya menghayati rentak serta gerak seni yang diwarisi turun-temurun. Tidak lebih daripada itu. 

Apa yang dimaksudkan Tok Dewata adalah, pada masa kini terdapat penggiat seni dan institusi budaya lain juga  yang menganjurkan Main Teri sebagai persembahan kebudayaan tanpa sebarang unsur ritual, pemujaan, atau tujuan perubatan mistik.

Namun begitu, Tok Dewata mengakui beliau terkilan apabila ramai pihak terus menjatuhkan hukuman tanpa memberi ruang untuk penjelasan. Tanpa bertanya terlebih dahulu. 

“Apabila orang komen yang bukan-bukan, saya tak rasa nak marah pun. Biarlah. 

“Cuma saya terkilan, terus buat tuduhan dan tohmahan yang bukan-bukan tanpa bertanya. Tanpa bersoal jawab.

“Saya juga terkilan dengan pihak segelintir jawatankuasa agama, terus menuduh. 

“Datanglah, mari jumpa kita, berdepan dengan kita, dengar cerita kita. Fahamkan dulu apa yang kita sampaikan. Semuanya boleh berbincang.”

Jangan cepat menghukum

Tok Dewata berpendapat, sesuatu perkara tidak seharusnya dinilai hanya berdasarkan potongan video pendek yang tular di media sosial.

Sebaliknya, setiap pihak perlu mendapatkan penjelasan daripada individu yang terlibat sebelum membuat sebarang keputusan atau kenyataan.

Di akhir perkongsiannya, Tok Dewata turut menitipkan pesanan kepada pengguna media sosial agar lebih berhati-hati ketika meninggalkan komen atau tuduhan terhadap seseorang.

“Nasihat saya kepada mereka yang gemar komen di media sosial, berhati-hatilah dengan setiap perkataan yang ditulis.

“ Apa sahaja yang kita ucapkan atau tulis, lambat atau cepat akan kembali kepada diri kita sendiri.

“Dalam masa yang sama, sebagai orang Islam, kita percaya setiap perbuatan dan kata-kata akan dipersoalkan di akhirat kelak.

“Jika komen atau tohmahan yang dilemparkan itu tidak benar, kita juga perlu bersedia bertanggungjawab di hadapan Allah.

“Sebab itu saya ingin bertanya kepada mereka yang begitu mudah membuat tuduhan tanpa mengetahui perkara sebenar, sanggupkah anda menunggu saya di akhirat nanti atas  segala tuduhan yang telah dibuat?”

Peliharan warisan seni nenek moyang

Bagi Tok Dewata, apa yang dilakukan hari ini hanyalah usaha memelihara warisan seni budaya nenek moyang agar tidak lenyap ditelan zaman.

Namun, di sebalik usaha tersebut, beliau berharap masyarakat dapat membezakan antara warisan budaya yang dipersembahkan sebagai seni dengan amalan yang benar-benar mempunyai unsur pemujaan atau kepercayaan tertentu.

Kerana menurutnya, tidak semua yang kelihatan pelik atau berbeza itu semestinya berkait dengan jin, syirik atau perkara mistik seperti yang sering diperkatakan.

Evolusi Main Teri moden

 Main Teri moden kini telah diadaptasi sebagai seni persembahan kebudayaan warisan yang dipelihara tanpa melibatkan unsur pemujaan makhluk halus. 

Manakala sejarah awal amalan ini berakar umbi sebagai sistem rawatan psikologi tradisional masyarakat Melayu Kelantan-Pattani sejak ratusan tahun dahulu. 

Pada zaman dahulu, amalan ini melibatkan ritual jampi mentera, seruan semangat, dan keadaan tidak sedarkan diri atau ‘menurun’ (trance). 

Elemen-elemen mistik tersebut menyebabkannya dilarang kerana bercanggah dengan akidah Islam. 

Namun kini, Main Teri telah mengalami proses pembersihan elemen syirik. 
Versi moden yang dipentaskan oleh badan kesenian negara berfungsi sepenuhnya sebagai teater tradisional dan warisan seni semata-mata. 

Fokusnya ditukarkan kepada estetika alunan rebab, keindahan gerak tari, kebatinan sajak, dan pengekalan identiti budaya Pantai Timur. 


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Pontianak rambut panjang… Misteri Highland Towers tidak pernah  berakhir

Malam itu masih segar dalam ingatan segelintir penduduk sekitar Highland Towers. Walaupun lebih tiga dekad telah berlalu, kenangan terhadap...

More Articles Like This