Esok genaplah setahun Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri.
Kalau mengimbas kembali tempoh 12 bulan beliau menduduki jawatan itu, boleh dikatakan Ahli Parlimen Pagoh berusia 73 tahun itu menempuh cabaran yang mungkin tidak pernah ditempuh oleh mana-mana penyandang jawatan tersebut sebelum ini dalam tempoh tersebut.
Pelantikan beliau pada ‘tahun lompat’ 29 Februari 2020 disusuli majlis angkat sumpah jawatan pada 1 Mac 2020 memberi isyarat awal, perjalanan beliau menguruskan negara akan dipenuhi dengan ranjau dan duri.
Walaupun pelantikan Muhyiddin diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan namun bagi kelompok yang masih ‘terkejut’ kerana hilang kuasa selepas 22 bulan memerintah, mereka sukar menerima hakikat itu.
Muhyiddin didakwa tidak mempunyai majoriti di Dewan Rakyat. Dua kali Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan sidang akhbar menyatakan beliau mempunyai cukup majoriti untuk menjadi Perdana Menteri dengan ayat ‘menggegarkan’ , ‘’Kerajaan Muhyiddin sudah jatuh’’ dan ‘’memiliki majoriti yang cukup menyakinkan’’.
Tetapi Muhyiddin tidak pernah terganggu dengan asakan politik seumpama itu, walaupun asakan semakin hebat apabila dalam kalangan pemimpin UMNO sendiri mula melakukan ‘serangan’ ke atas Muhyiddin dan Kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Walaupun Muhyiddin terpaksa berhadapan dengan kelompok ‘meroyan’ hilang kuasa, ‘ghairah mahu berkuasa’ dan ‘rasa masih berkuasa’ namun ia tidak menjejaskan tumpuan Perdana Menteri bagi menguruskan negara.
Sebagai seorang yang cukup berpengalaman dalam politik dan pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri sebelum disingkirkan hanya kerana membangkitkan isu 1MDB – isu yang menjadi punca UMNO dan BN hilang kuasa selepas 61 tahun – Muhyiddin memberi tumpuan menangani ‘serangan lebih besar’ iaitu Covid-19.
Bagi Muhyiddin, soal politik boleh diuruskan kemudian kerana kalaupun ditakdirkan terkorban mungkin beliau dan partinya sahaja tetapi kalau Covid-19 dibiarkan menular jutaan rakyat Malaysia akan menjadi korban.

Satu demi satu langkah dilakukan oleh beliau, bukan sahaja untuk menangani pandemik tersebut tetapi juga mengurangkan beban rakyat. Beberapa pakej rangsangan ekonomi dilaksanakan.
Namun begitu bagi kelompok yang berasa gelisah kerana ia boleh menggagalkan agenda politik mereka, tidak mahu duduk diam. Belanjawan 2021 hampir menjadi ‘senjata’ bagi meruntuhkan kepemimpinan Muhyiddin.
Bagaimanapun usaha itu gagal apabila beberapa pemimpin yang dikatakan akan menyokong usul menolak belanjawan menarik diri pada saat-saat akhir. Sekaligus membolehkan ia diluluskan tanpa dibahaskan manakala di peringkat kementerian semua undian menyebelahi kerajaan.
Tetapi ‘serangan dan asakan’ itu tidak berakhir di situ, ketika pandemik Covid-19 semakin ‘menggila’, ada kelompok politik juga ‘gila mahu terus berpolitik’.
Paling malang ada pemimpin-pemimpin dalam kerajaan sendiri lebih agresif dan lebih lantang, seolah-olah mengambil alih tugas pembangkang dan ketua pembangkang, walaupun dulu ada antara mereka ‘bukan main’ dirakam memeluk erat Muhyiddin selepas beliau mengangkat sumpah.
Tidak dinafikan ada kelemahan sepanjang kerajaan menangani pandemik itu tetapi Muhyiddin bukanlah Perdana Menteri yang ‘pekak’ untuk tidak mendengar isu yang dibangkitkan terutama melibatkan soal rakyat dan ‘buta’ tidak nampak realiti yang berlaku.
Sebab itulah semua isu yang dibangkitkan ditangani satu persatu. Mungkin tidak semua mampu ditangani atau semua tuntutan boleh dipenuhi kerana kerajaan pun ada keterbatasannya. Kalau setakat dok mengkritik kat media sosial, bolehlah.
Perkara ini bukannya tidak diketahui oleh kelompok yang melakukan asakan terhadap Muhyiddin apatah lagi beberapa orang daripada mereka pernah menjadi Menteri Kewangan, tetapi mereka sengaja melakukannya bagi mewujudkan keraguan rakyat kepada kerajaan.
Walaupun Muhyiddin meneruskan usaha bagi menangani pandemik itu tetapi gangguan politik boleh menggugat usaha kerajaan dan pada masa sama kerajaan perlu kuasa lebih meluas bagi memerangi Covid-19.
Berikutan itu pengisytiharan darurat dilakukan selepas diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong. Sidang Parlimen tidak boleh diadakan dan pilihan raya tidak boleh dijalankan.
Maka ‘menggelupur’ kelompok yang harap sangat Parlimen bersidang kerana hujah mereka boleh bincang isu berkaitan rakyat hadapi pandemik tetapi agenda sebenar, semua orang faham.
Bagaimanapun baru-baru ini dalam satu kenyataan Istana Negara menjelaskan, sidang Parlimen boleh diadakan atas perkenan Yang di-Pertuan Agong selepas mendapat nasihat Perdana Menteri manakala Muhyiddin pula berjanji Parlimen akan dibubarkan sebaik sahaja pandemik Covid-19 reda.
Biarpun sudah ada jaminan itu, namun Muhyiddin terus diganggu oleh kelompok yang seolah-olah ‘takut kepada pilihan raya’, mereka mendesak pula supaya Perdana Menteri menghadap segera Yang di-Pertuan Agong minta perkenan sidang Parlimen diadakan.
Buat masa ini, Muhyiddin seperti biasa tidak beri respon kepada asakan politik seumpama itu, tumpuan beliau terhadap Covid-19 tetap menjadi keutamaan.
Beliau yang menerima suntikan vaksin Covid-19 pada Rabu lalu dan akan menerima suntikan kedua pada 17 Mac ini sedang memberi keutamaan kepada Program Vaksinasi Covid-19 Kebangsaan dan apa lagi yang boleh dilakukan untuk menolong rakyat yang terjejas akibat impak wabak itu.
Program tersebut amat penting untuk menghentikan penularan Covid-19. Apabila pandemik itu sudah dapat ditangani, barulah apapun boleh dilakukan termasuklah pilihan raya.
Penulis tidak menyatakan bahawa sepanjang tempoh setahun ini, Muhyiddin sudah cukup sempurna, kita kena akui banyak kelemahan yang perlu diperbaiki dan ada perkara yang perlu ditambah baik.

Adalah sesuatu melucukan kalau kita mengharapkan pembangkang yang hilang kuasa pada tahun lalu atau pemimpin yang hilang kuasa pada 2018 akan memuji Muhyiddin sempena genap setahun beliau menjadi Perdana Menteri.
Kita percaya kalau merekalah, biarpun baru genap setahun memerintah, sudah pasti rekod dibentangkan seolah-olah merekalah kerajaan terbaik yang pernah wujud di muka bumi Malaysia ini. Justeru tidak perlulah membuang masa melayan kelompok ‘hilang kuasa’, ‘yang mahu berkuasa’ dan ‘rasa masih berkuasa.’
Muhyiddin dijadual akan menyampaikan Amanat genap setahun beliau menjadi Perdana Menteri, esok. Sudah pasti rakyat mengharapkan, amanat itu tidak akan hanya tertumpu kepada apa yang sudah dilakukan kerana mereka mungkin sudah mendengarnya banyak kali, apa yang mereka mahu tahu apa perancangan kerajaan untuk setahun ke depan.
Mereka pun ‘menyampah’ dengan mainan politik yang tidak berkesudahan tetapi pada masa sama mereka juga mengharapkan kerajaan terus melakukan sesuatu bagi membela nasib mereka.
Perkara itu perlu diberi perhatian kerana nasib sesebuah kerajaan bukan terletak kepada asakan politik tetapi sejauh manakah rakyat yakin dan percaya kepada kerajaan tersebut.
Kalau keyakinan itu ada dan kalau kepercayaan itu wujud, datanglah asakan politik macam manapun, kerajaan sedia ada tetap terselamat, asalkan tidak ada pemimpin terlibat dengan salah guna kuasa atau rasuah.
Penulis percaya Muhyiddin yang pernah bekerja dengan tiga Perdana Menteri termasuk dua kali dengan Perdana Menteri yang sama amat memahami perkara itu.

