Ya Habib ilham sewaktu ditahan dalam lokap – Da’i Syed

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

PENDAKWAH selebriti, Da’i Syed memberitahu single terbaharunya berjudul Ya Habib dihasilkan ketika ditahan dalam lokap selama 20 hari.

Dedah Syed atau nama penuhnya Syed Shah Syed Iqmal, dia mendapat inspirasi untuk menulis lagu itu berdasarkan kisah perjalanan hidupnya yang berdepan dengan ujian cukup hebat.

“Saya dapat inspirasi untuk buat single ini sewaktu berada dalam tahanan selama 20 hari. Dari situlah saya menulis lirik dan lagu yang menceritakan tentang diri saya.

“Bagaimana saya rasa sedih, muntah-muntah dan anxiety sepanjang ditahan, semuanya saya luahkan dalam Ya Habib.

“Kalau maksud secara keseluruhannya, ia mengisahkan tentang seorang anak muda yang mencari arah tuju hidup di mana dia telah menerima didikan daripada seorang guru sebelum meneruskan perjalanan,” katanya.

Syed berkata demikian pada majlis sidang media secara maya sempena pelancaran single Ya Habib dan pelantikannya sebagai duta wangian jenama Ya Habib daripada syarikat DYXY Cosmetic.

Single tersebut turut mendapat sentuhan komposer Adam Armin, Yusuff Khan, Ryan Deedat dan Adly Kiddy yang mempertaruhkan genre Pop Elektronik dan muzik Arab.

Lagu tersebut akan dilancarkan pada esok (5 Mac) di semua platform penstriman termasuklah saluran Youtube.

Sementara itu, Syed,26, bersyukur kerana masih ramai peminat yang memberikan kata-kata positif serta semangat untuk dia kembali bangkit disebalik kontroversi yang terpalit pada tahun lalu.

Menurut Syed, antara faktor mengapa dia menghasilkan Ya Habib adalah kerana sokongan yang tiada penghujung oleh orang sekeliling termasuklah pihak di luar sana.

“Peminat saya terlalu kuat dan positif. Mereka banyak memberikan kata-kata semangat untuk saya tidak berasa berada di bawah.

“Saya juga selalu positifkan diri walaupun sedar ada yang mengutuk dan mencaci ketika saya berada dalam tahanan . Saya tak pernah marah jauh sekali menyimpan dendam.

“Cuma, rasa sakit hati itu ada tetapi saya mengambil pendekatan mendiamkan diri sahaja ketika itu,” ujarnya.

Pada 15 Disember lalu, Syed dilepaskan dengan ikat jamin keseluruhan sebanyak RM35,000 iaitu masing-masing RM25,000 di Mahkamah Petaling Jaya dan RM10,000 di Mahkamah Shah Alam.

Dia didakwa atas pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii dan mencabul kehormatan serta turut berhadapan dengan tuduhan merogol seorang wanita.

Difahamkan, sebutan kes di Mahkamah Shah Alam akan diadakan pada 16 Mac ini, manakala di Mahkamah Petaling Jaya pula ialah pada 19 Mac.

Mengulas lanjut mengenai wangian Ya Habib, menurut Syed ia adalah produk yang dikeluarkan khas sebagai buah tangan untuk peminatnya.

Kolaboratif antara dirinya dengan pihak DYXY hadir tanpa dirancang dan Syed menganggap ia adalah permulaan yang baik bagi dirinya.

“Saya tidak memaksa peminat untuk membeli wangian ini tetapi apa yang penting sekali ia dapat mencipta usahawan muda untuk berjaya.

“Namun, saya yakin dan percaya masih ada peminat yang akan membeli produk ini sebagai tanda sokongan kepada produk tempatan.

“Harga sebotol ialah RM119 tetapi untuk esok sempena hari pelancarannya, kami memberikan harga promosi iaitu RM99 sahaja,” ungkapnya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Fajar Noor buka lembaran baharu, Sementara, Selamanya jadi manifestasi kematangan emosi

SETELAH sekian lama dinanti, penyanyi yang sinonim dengan naskhah muzik yang menyentuh jiwa, Fajar Noor akhirnya kembali mengubat rindu...

More Articles Like This