PENERBIT Dajal: Satu Malam Diperdajal (Dajal) iaitu David Teo tidak bercadang untuk memotong babak yang menampilkan Da’i Syed sebagai salah seorang pelakon filem terbabit.
Jelas David, sebagai pembikin filem, dia profesional dan enggan mencampuri urusan peribadi asalkan pelakon tersebut memberikan sepenuh komitmen terhadap kerja yang dipertanggungjawabkan.
“Saya pandang dari sudut profesional. Setiap kali saya ambil pelakon untuk membintangi filem, saya hanya melihat kepada komitmen kerja dan kualiti lakonan.
“Watak dalam filem Dajal itu memang untuk dia. Dia bukan pelakon utama filem ini jadi saya tak perlu nak potong semua babak lakonannya.
“Saya fikir ini adalah filem terakhir daripada dia sebelum mahkamah membuat keputusan mengenai kes dia,” katanya kepada URTV.
Pada masa sama, David turut tidak bersetuju apabila ada pakatan yang mula memboikot semua kerjaya seni DA’I Syed atau nama penuhnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful.
“Saya tak setuju orang nak boikot dia. Kita bagi peluang orang bertaubat, mungkin itu kisah lalu dia.
“Saya percaya penonton sekarang sudah bijak menilai mana urusan kerjaya dan hal peribadi. Janganlah kita semua nak boikot apa saja yang dilakukan untuk industri seni termasuk filem Dajal.
“Saya ambil dia berlakon atas dasar tanggungjawab dan usaha yang ditunjukkan untuk menjayakan filem itu.
“Tidaklah pulak saya pandang rekod seseorang pelakon itu ada masa penjara, kes jenayah seperti menagih dadah atau tangkap khalwat,”jelasnya.
David juga yakin penonton tidak akan memboikot filem terbitannya itu malah akan lebih ramai yang memberi sokongan.
“Sebelum ambil dia berlakon, saya memang sudah dimaklumkan mengenai kes tersebut. Tapi ketika itu mahkamah belum membuat keputusan dan belum muktamad.
“Kita tak boleh buat keputusan sebelum mahkamah. Saya anggap ini takdir yang dibuat dalam hidup dia.
“Lakonan dia bagus. Saya yakin dan percaya ia tidak akan menganggu kutipan jualan tiket filem itu bila ditayangkan nanti,” ujarnya.
Tambah David, tidak adil penonton mahu memboikot filem terbabit sedangkan masih ramai lagi pelakon yang membintangi filem itu.
“Hanya seorang pelakon yang bermasalah tapi kita nak boikot filem itu. Itu tidak adil bagi saya.
“Untuk kes Syed ini, saya tetap letak nama dia di akhir kredit. Terpulang pada penonton mahu atau tidak memberi sokongan,” katanya.
Selain Syed, filem arahan pengarah Pierre Andre itu turut dibintangi oleh Amir Nafis, Jay Iswazir, Jaja Iliyes dan ramai lagi.
Terdahulu, Syed dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen kerana merogol seorang wanita di sebuah kondominium di Shah Alam, lima tahun lalu.
Selepas dipenjarakan selama 21 hari, Syed dilepaskan dengan jaminan RM35,000 serta dua penjamin.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

