KIRA-KIRA 1.4 juta individu didapati tidak melengkapkan sepenuhnya pendaftaran bagi menerima suntikan vaksin Covid-19 dalam aplikasi MySejahtera.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, kesemua individu tersebut hanya mengesahkan nama dan kad pengenalan tanpa mengisi alamat terkini masing-masing dan tidak menjawab soalan berkaitan penilaian kesihatan.
Sehubungan itu, beliau berharap 1.4 juta individu itu dapat melaksanakannya secepat mungkin supaya jumlah tersebut boleh ditambah kepada jumlah yang telah pun mendaftar melalui MySejahtera.
Beliau malah berkata, proses pendaftaran lengkap termasuk mengisi alamat terkini diperlukan untuk menetapkan janji temu bagi menerima vaksin.
Baca artikel berkaitan: Suntikan dos pertama vaksin menghampiri 300,000 penerima
“Saya telah minta MySejahtera untuk mengenal pasti pengguna yang tidak melengkapkan pendaftaran ini dengan mereka akan menerima sistem pesanan ringkas (SMS) bermula petang ini untuk memberi peringatan.
“Alamat penting kerana kita akan beri janji temu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berhampiran dengan alamat terkini. Kita tak ambil alamat dalam kad pengenalan kerana ramai yang tidak tinggal di alamat dalam kad itu,” katanya dalam sidang akhbar mingguan perkembangan PICK hari ini.
Turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba.
Mengulas lanjut, Khairy memberitahu, lebih lima juta individu telah pun mendaftar untuk menerima vaksin melalui aplikasi MySejahtera setakat semalam.
Beliau memaklumkan, seramai 404,399 individu lagi telah mendaftar menerusi laman web dan pusat panggilan dengan lebih 200,000 adalah penyertaan unik menerusi dua kaedah tersebut.
“Mengikut nisbah pendaftaran kepada populasi sasaran, daripada aplikasi MySejahtera meliputi 22.8 peratus penduduk disasarkan manakala bilangan temu janji yang telah dikeluarkan dalam fasa pertama ini sebanyak 391,877.
“Seramai 301,699 pula telah menerima vaksin dengan pecahan kategori penerima meliputi 23.86 peratus jururawat, doktor (22.23 peratus), kumpulan kesihatan lain (23.40 peratus), tentera, polis dan lain-lain (21.33 peratus) serta hanya 0.11 peratus melibatkan anggota pentadbiran dan wakil rakyat,” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

