ANUGERAH Grammy ke-63 menyaksikan artis wanita memonopoli kemenangan bagi kategori utama pada acara muzik paling berpestij itu dan paling ditunggu-tunggu selepas ditunda pada Januari lalu.
Taylor Swift seperti menepati ramalan ramai apabila album kelapannya, Folkore berjaya mengungguli trofi Album Terbaik yang mana sekaligus melayakkan dirinya antara penyanyi wanita pertama memenangi kategori berkenaan sebanyak tiga kali berturut-turut.
Sebelum ini, Swift,31, pernah membawa trofi sama untuk album keduanya, Fearless pada 2010 dan album kelima, 1989 pada 2016.
Sementara itu, Beyonce tidak ketinggalan menambah satu lagi koleksi trofi Anugerah Grammy menerusi kategori Persembahan R&B Terbaik untuk lagu Black Parade.
Secara peribadi, ini merupakan trofi ke-28 Beyonce sepanjang penglibatannya dalam industri muzik antarabangsa.
Selain itu, Beyonce, 39, turut merangkul trofi Persembahan Rap Terbaik bersama Megan Thee Stallion bagi lagu Savage selain kategori Video Muzik Terbaik menerusi lagu Brown Skin Girl.

Megan yang berusia 26 tahun itu juga turut memenangi kategori Artis Baharu Terbaik dan Lagu Rap Terbaik yang secara keseluruhannya dia membawa pulang tiga trofi anugerah penuh gemilang itu.
Penyanyi Billie Eilish yang membawa ‘habuan’ besar pada tahun lalu turut tidak pulang dengan tangan kosong pada musim kali ini apabila dia memenangi kategori Rekod Terbaik menerusi album Everything I Wanted.

Dalam pada itu, impian peminat kumpulan dari Korea Selatan, BTS untuk mengukir sejarah sebagai artis K-pop pertama menerima trofi Persembahan Duo Pop/Berkumpulan Terbaik lebur apabila tewas di tangan Lady Gaga dan Ariana Grande.

Anugerah Grammy yang disiarkan secara langsung dari Pusat Konvensyen Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) itu dihoskan oleh Trevor Noah.
Acara tersebut dianjurkan mengikut norma baharu memandangkan penularan wabak Covid-19 di negara berkenaan masih belum mencatatkan penurunan yang baik.
Berikut senarai penuh pemenang Anugerah Grammy ke-63:
Rekod Terbaik : Everything I Wanted (Billie Eilish)
Album Terbaik : Folklore ( Taylor Swift)
Lagu Terbaik : I Can’t Breathe ( H.E.R )
Artis Baharu Terbaik : Megan Thee Stallion
Persembahan Pop Solo Terbaik : Watermelon Sugar (Harry Styles)
Persembahan Duo Pop/Berkumpulan Terbaik : Rain On Me ( Lady Gaga & Ariana Grande)
Album Pop Vokal Terbaik : Future Nostalgia ( Dua Lipa )
Lagu Rock Terbaik : The New Abnormal (The Strokes)
Persembahan R&B Terbaik : Black Parade (Beyonce)
Lagu R&B Terbaik : Better Than I Imagined ( Robert Glasper featuring H.E.R. & Meshell Ndegeocello)
Lagu Rap Terbaik : Savage ( Megan Thee Stallion featuring Beyoncé)
Album Rap Terbaik : King’s Disease (Nas)
Persembahan Rap Terbaik : Savage ( Megan Thee Stallion featuring Beyoncé)
Lagu Country Terbaik : Crowded Table (The Highwomen)
Album Country Terbaik : Wildcard (Miranda Lambert)

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

