PELAKON Emma Maembong meluahkan rasa kecewa dan terkilan mengenai tindakan pembantu rumahnya yang melarikan diri dan sehingga kini masih gagal dikesan.
Emma atau Fatimah Rohani,29, tidak menyangka pembantu rumah yang sudah dianggap seperti keluarga sendiri sanggup mengkhianati kepercayaan yang telah diberikan olehnya.
“Sejujurnya saya tak tahu kenapa dia lari sebab kami okey dan tak ada masalah. Tak dinafikan, saya suka dengan cara kerja dia, memang bagus, sangat rajin, baik dan masak pun sedap.
“Saya sayang dan dah anggap dia sebahagian daripada kelaurga. Suami saya pun sayang sangat dengan dia.
“Sebab itu bila saya tengok dia penat, saya ajak dia pergi belah-belah, saya bagi duit dan minta dia beli apa sahaja yang dia nak.
“Malah saya belikan dia telefon bimbit yang baharu bagi menggantikan telefonnya yang sudah rosak,”katanya.
Dedah Emma lagi, antara punca yang membuatkan pembantu rumahnya itu lari adalah disebabkan pujukan seorang lelaki yang baharu dikenali dan berjanji ingin mengahwininya.
“Seorang lagi pembantu rumah saya ada beritahu, dia melarikan diri selepas mengenali seorang lelaki melalui Facebook dan ingin berkahwn.
“Lelaki itu telah janji macam-macam dan katanya boleh beri intan serta berlian. Malah, lelaki itu turut memberitahu dia tidak perlu lagi bekerja sebagai orang gaji lagi.
“Bagi saya kalau betul nak kahwin, tak mengapa, cakap sahaja dengan saya. Silap haribulan saya yang akan beli baju kahwin dan siapkan pelamin sebab saya dah sayang dia,” luahnya.
Jelas pelakon Tersuka Tanpa Sengaja itu lagi, tiada perasaan marah dihatinya namun kecewa dan sedih kerana pembantu rumahnya itu turut sanggup membiar dan meninggalkan bayinya, Shariq Gabriel di rumah semasa dibawah jagaanya.

