BERITA baik bagi golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) yang telah kehilangan pendapatan apabila kerajaan akan menyalurkan bantuan tunai one-off sebanyak RM500 menerusi Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa).
Pada masa sama, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengumumkan bayaran tambahan sebanyak RM500 kepada penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang berpendapatan RM1,000 ke bawah.
Menurut Muhyiddin, bantuan kehilangan pendapatan di bawah inisiatif ke-15 Pemerkasa itu melibatkan peruntukan bernilai RM1.2 bilion kepada 2.4 juta penerima.
Katanya, kedua-dua kategori itu melibatkan penerima berumur antara 21 hingga 60 tahun dan tidak melibatkan proses pendaftaran permohonan.

“Pengesahan kehilangan pendapatan dan semakan silang akan dibuat melalui sistem Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
“Insya-Allah, kedua-dua bantuan khas ini akan dibayar mulai Jun 2021 ke akaun penerima masing-masing,” katanya dalam perutusan khas Pemerkasa secara langsung hari ini.
Baca artikel berkaitan: Perdana Menteri umum Pemerkasa bernilai RM20 bilion
Tiada lagi PKP menyeluruh selepas ini – PM
Bagi individu berstatus bankrap pula, Perdana Menteri memberitahu, Jabatan Insolvensi akan memudahkan urusan dengan pihak bank dalam menerima bantuan kerajaan.
Muhyiddin memaklumkan, kelonggaran akan diberi untuk membuka akaun bank secara dalam talian melalui permohonan e-mel kepada cawangan Jabatan Insolvensi yang mentadbir kes mereka.
Katanya, sebarang bantuan tunai yang dikreditkan tidak akan mengalami sebarang potongan ansuran bulanan.
“Kerajaan bersetuju memanjangkan tempoh kuat kuasa perlindungan bagi ketidakupayaan untuk melaksanakan obligasi kontraktual yang akan berakhir pada 31 Mac ini sehingga 30 Jun 2021.
“Jenis kontrak yang terlibat akan turut diluaskan bagi membantu rakyat terkesan dan gagal memenuhi obligasi kontrak mereka,” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

