PERHIMPUNAN Agung UMNO pada Sabtu dan Ahad ini adalah detik penting untuk parti terbesar orang Melayu itu.
Ia penentu sejauh manakah kepemimpinan UMNO mampu merangka strategi bagi membolehkan parti yang tersungkur dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) itu bangkit semula dalam PRU-15.
Ketika ini hala tuju UMNO bagaikan tidak menentu, berada dalam kerajaan tetapi segelintir pemimpinnya bertindak bagaikan pembangkang. Mahu merangkul Pas dalam kerjasama melalui Muafakat Nasional (MN) tetapi pada masa sama secara senyap-senyap ada pemimpin pergi berunding dengan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sama ada semua kekalutan ini mampu untuk dirungkai atau tidak, ia bergantung kepada Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi. Hanya beliau sahaja boleh memberikan apa kisah sebenar dan ke manakah hala tuju UMNO.
Usah menafikan bahawa pada masa ini ahli-ahli di peringkat akar umbi keliru dan buntu, ke mana sebenarnya Ahmad Zahid mahu membawa UMNO. Beberapa isu besar yang boleh membawa impak kepada hala tuju UMNO didiamkan begitu sahaja.
Sebagai sebuah parti yang masih diharapkan dapat memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air, UMNO perlu mempunyai hala tuju yang jelas.Tetapi Ahmad Zahid dilihat bagaikan teraba-raba.

Ahli-ahli UMNO tertanya-tanya ketika beberapa pemimpin kanan parti itu menegaskan dasar ‘No Anwar, No DAP’ kekal kerana ia adalah keputusan perhimpunan agung pada 2019, Ahmad Zahid didakwa menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong menyokong Anwar menjadi Perdana Menteri dan nama beliau juga disebut oleh seorang pemimpin DAP mengadakan rundingan dengan Anwar.
Dalam kedua-dua isu ini, Ahmad Zahid hanya mendiamkan diri. Apa yang keluar dari mulut beliau ketika ini lebih banyak mengkritik Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang beliau sendiri bertanggungjawab membawa UMNO menganggotai kerajaan tersebut.
Justeru perhimpunan agung adalah gelanggang terbaik kepada Ahmad Zahid untuk menghentikan apa juga tindakan yang boleh ditafsirkan sebagai sandiwara politik. Beliau harus menjelaskan dengan penuh keikhlasan, ke mana hala tuju UMNO? Dan benarkah beliau berunding dengan Anwar?
Ahmad Zahid perlu nyatakan, jika betul UMNO tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu, siapakah yang akan bersama UMNO untuk mewujudkan ‘penjajaran baharu’? Adakah ‘penjajaran baharu’ itu melibatkan kerjasama bersama PKR?
Apakah ‘penjajaran baharu’ berada dalam kategori ‘Perjanjian Hudaibiyah’ yang pernah Ahmad Zahid sebut pada perhimpunan agung 2019 iaitu ‘merupakan kemuncak ujian ketaatan pengikut kepada pemimpin, di mana adakalanya keputusan pimpinan tidak populis dan penuh strategik.’?
Semua ini perlu ada dalam ucapan dasarnya. Ahli-ahli UMNO tidak mahu dengar ucapan yang hanya berkisar soal ‘serangan’ terhadap Bersatu atau terus meratap bagaimana UMNO dilayan! Ahli-ahli UMNO sudah bosan mendengarnya kerana mereka sudah lali dengan ‘ratapan si anak tiri’ sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Yang ahli UMNO mahu tahu apabila turun ke gelanggang PRU-15 yang akan menjadi penentu sama ada UMNO mampu berkuasa atau tidak, siapakah sekutu UMNO? Kalau dengan Pas adakah parti itu akan bersetuju jika UMNO bekerjasama dengan PKR?
Kalau mahu berkawan dengan PKR adakah perhimpunan agung Sabtu ini akan membatalkan keputusan yang dibuat pada tahun 2019? Dan bagaimana pula dengan Muafakat Nasional?
Banyak yang harus dijawab oleh Ahmad Zahid ketika sudah ada cakap-cakap di peringkat akar umbi bahawa segala pokok pangkal masalah atau kemelut dihadapi oleh UMNO adalah berpunca daripada kelemahan kepemimpinan beliau.

Ahmad Zahid perlu menunjukkan keputusan beliau untuk kembali menerajui UMNO selepas bercuti bagi menumpukan perhatian kes mahkamahnya bukan satu kesilapan dan dianggap hanya menyusahkan UMNO.
Ia memandangkan ketika beliau bercuti, ramai pemimpin dan ahli-ahli UMNO berasa lega kerana parti itu diletakkan di bawah tanggungjawab Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan.
Mereka lega kerana kepemimpinan UMNO tidak dipalit oleh sebarang isu yang boleh menjejaskan peluang parti itu untuk bangkit semula. Bukan kata orang UMNO, malah orang Melayu juga mempunyai pandangan serupa.
Oleh itu Ahmad Zahid harus buktikan semua cakap-cakap, tafsiran atau persepsi itu adalah tidak betul. Beliau tidak boleh berasa selesa dengan kenyataan pemimpin-pemimpin bertaraf ‘warlord’ atau yang sehaluan dengan beliau dalam isu-isu berkaitan parti dan negara.
Ahmad Zahid perlu jujur untuk menilai adakah beliau mampu atau tidak untuk memimpin UMNO bangkit semula dalam PRU-15 nanti. Bangkit semula ini maksudnya dengan kekuatan sendiri dan keyakinan rakyat kepada Ahmad Zahid bahawa beliau ada material serta keupayaan memimpin negara bukannya sekadar membawa UMNO yang kalah dalam pilihan raya menyertai kerajaan tetapi kemudiannya mengeluh ‘dianaktirikan’.
Kalaulah kerjasama dalam Kerajaan PN dianggap satu kesilapan, jangan lagi mengulangi kesilapan itu. Sebab itulah ramai terkejut apabila Anwar mengaku ada perbincangan dengan ‘kepimpinan UMNO’.
Adakah ini bermaksud UMNO mahu diseret sekali lagi untuk bergabung dalam kerajaan tetapi orang lain menjadi Perdana Menteri? Kalau begitulah keadaannya teruk sangatkah Bersatu sehingga segala ruang untuk rundingan bagi mencari penyelesaian bagaikan sudah ditutup rapat?
Apa jaminan UMNO akan mendapat layanan lebih baik jika ditakdirkan membentuk kerajaan bersama PKR yang pastinya tidak akan meninggalkan DAP dan Amanah yang menjadi sekutu mereka dalam Pakatan Harapan?
Semua ini adalah kekeliruan yang perlu dirungkaikan oleh Ahmad Zahid dalam perhimpunan agung UMNO nanti. Semuanya perlu jelas dan terang supaya pemimpin dan ahli UMNO bukan sahaja tidak lagi keliru soal hala tuju parti tetapi juga mengelakkan mereka bertelagah dan berbalah sesama sendiri.
Ahmad Zahid perlu menampilkan kewibawaan sebagai seorang Presiden yang boleh mengawal situasi dalam parti bukannya seperti hari ini yang mana UMNO dilihat berantakan.
Sebagai seorang yang cintakan parti dan menegaskan akan mempertahankan UMNO, Ahmad Zahid sudah pasti tahu apa yang patut dilakukan jika merasakan beliau tidak mampu lagi untuk memimpin UMNO.
Mungkin apa yang diperkatakan ini ‘nampak keras’ tetapi inilah sentimen yang sedar berlegar-legar dalam kalangan pemimpin dan ahli UMNO. Selain itu ramai pemerhati politik turut mengaitkan apa yang berlaku dalam parti itu sekarang disebabkan kelemahan kepemimpinan UMNO.
Oleh itu di perhimpunan agung nanti Ahmad Zahid hanya perlu bercakap secara terus terang, terbuka dan penuh keikhlasan, kalau benar mahu memastikan UMNO kembali berkuasa dalam PRU-15 serta tidak dilayan bagaikan ‘melukut di tepi gantang’
Jika ucapan beliau lebih banyak retorik, dipenuhi ‘ratapan si anak tiri’, ‘menyerang’ Bersatu, mengecam orang itu orang ini sebagai ‘broker’ dan mengkritik Kerajaan PN bagaikan ‘tak ingat dunia’ sedangkan isu pokok berkaitan hala tuju ‘dikesampingkan’ dan isu yang dikaitkan dengan beliau tidak dijawab, percayalah impian UMNO untuk bangkit semula hanya sekadar mimpi.
Dan orang sudah boleh ‘mengesahkan’ sama ada Ahmad Zahid masih layak atau tidak memimpin UMNO.

