“Isteri mostly berbakti kepada suami bukan kerana Allah swt tapi..” – Perbetul definisi isteri bahagia!

0
120

Bahagia, punya definisi dan persepsi berbeza bagi setiap umat manusia. Nilai bahagia tidak sama ukurannya bagi setiap individu dan atas sebab itu jangan sesekali meletakkan tanda aras bagi menentukan kebahagiaan seseorang.

Perkongsian Mizhana Padzi mengenai definisi isteri bahagia cukup membuka mata untuk melihat dalam perspektif berbeza.

Jelasnya menerusi ceramah pendakwah bebas, Ustazah Asma’ Harun, isteri yang bahagia itu bukan isteri yang punya suami yang baik, dapat membeli semua keperluan atau dikurniakan anak-anak yang baik, sebaliknya isteri yang bahagia ialah tentang mengharap bahagia daripada Allah bilamana dia reda akan semua yang diberikan dalam hidupnya.

“Petang ni saya curi masa sekejap mendengar ceramah ustazah Asma’ Harun tentang menjadi isteri bahagia.

“Rupanya isteri yang bahagia itu bukan isteri yang beruntung, ada suami baik, beli semua yang diperlukan dia dan anak anak serta menghargai dia sebagai isteri.

“Isteri yang bahagia menurut Islam sebenarnya dia mendapat dan mengharap bahagia itu dari Allah swt bilamana dia redha dengan semua yang Allah swt beri kepada hidupnya, yang baik atau yang buruk.

“Selalunya para isteri mostly berbakti kepada suami bukan kerana Allah swt tapi kerana mahukan penghargaan suami semata mata.

“Apabila ditakdirkan suami mula tak menghargainya, mereka akan kecewa dan mengungkit segala pengorbanan mereka.

“Segala usaha mereka menjaga rumah tangga diharapkan habuan, penghargaan dan pujian.

“Bila tiada semua itu dari suami, dia melabel dirinya tidak bahagia.

“Jadi ustazah Asma’ menerangkan isteri yang benar benar dapat nilai bahagia dari Allah swt adalah apabila dia diuji Allah swt dengan suami yang buruk akhlak, kaki pukul, panas baran, tidak beri nafkah tapi dia masih hormat dan taat suaminya demi Allah swt.

“Kerana dia mahu redha Allah swt, kerana itu dia bersabar dan terus mentaati suaminya dan tidak melawan, menghina suami tapi masih bersabar dengan suami dan berusaha berdoa kepada Allah swt supaya suaminya berubah selagi dirinya dan anak anak tidak mudharat.

“Dan apabila dia dan anak anak sudah mudharat, dia minta dilepaskan suami tersebut dengan baik kerana takutkan Allah swt bukan kerana takutkan suami hingga diri dan anak anak teraniaya.

“Isteri seperti inilah yang bahagia dia dapat itu lebih istimewa berbanding isteri yang dilayan dengan baik oleh suami kerana dia merasa nikmat bahagia itu dari Allah swt.

“Sebab itu banyak juga kisah yang berlaku di mana akhirnya suami buruk mereka akhirnya berubah menjadi suami yang baik.

“Dan ada juga kisah di mana kerana seorang isteri itu tidak bersyukur dan kufur nikmat diberi suami baik, dia kasar dengan suami dan tidak taat kepada suami bila suaminya tidak beri apa yang dia mahu, Allah swt uji isteri tersebut dengan musibah.

“Na’uzubillah.”

Sumber : Mizhana Padzi