ezad lazim

NAMA penyanyi Ezad Lazim bukan lagi asing dalam industri muzik tanah air. Sebelum bergerak solo, Ezad pernah mencipta nama bersama kumpulan Exists pada 1995.

Selepas meninggalkan kumpulan itu pada 2007, Ezad, 42, atau nama sebenarnya Mohd Rohaizad Mohd Lazim berjaya membina nama dan kerjaya solo sehingga berada di kemuncak dan kelas tersendiri.

Kebanyakan lagu yang dihasilkan menjadi hits dan sejak itu Ezad juga berjaya mengumpul peminat tersendiri. Keunikan vokal dimiliki membuatkan dirinya dekat di hati peminat.

Selain menyampaikan lagu solo berentak balada, Ezad pernah berkolaborsi bersama penyanyi rap menerusi lagu Hati Mati iaitu dengan RJ pada 2015 dan lagu Cinta Terakhir bersama Waris juga pada tahun yang sama.

Terbaharu, Ezad muncul dengan single bergenre hip hop berkonsepkan ketuhanan yang berkolaborasi dengan dua rapper muda iaitu Bobby D dan Red Rahimad menerusi lagu Cahaya.

Lagu ciptaan sepenuhnya Red Rahimad itu adalah terbitan dan edaran syarikat rakaman COF Music.

Ezad yang baru muncul juara pada program Muzikal Lawak Superstar berkata, kolaborasi itu sesuatu yang amat menarik selain dapat menimba pengalaman baharu apabila bekerjasama dengan komposer dan rapper muda.

“Mereka yang mempelawa saya untuk terbabit dalam projek ini. Walaupun semuanya terjadi dalam tempoh singkat, saya okey sebab lagu ini cukup menarik perhatian saya. Ditambah pula, lagu ini berentak hip hop yang mana jarang sangat saya rakam lagu sebegini.

“Cuma, lagu ini sedikit berbeza kerana ia berkonsepkan ketuhanan. Jadi, bagi saya tidak salah untuk mencuba sesuatu yang lain pula. Apabila lagu ini dilancarkan pada bulan Ramadan, ia memang kena dengan kisah lagu ini.

“Lagu ini mengisahkan tentang macam mana seseorang yang sebelum ini jahat, kemudian mendapat hidayah untuk berubah dan meminta pengampunan atas segala dosa. Saya yakin, bagi sesiapa yang mendengar lagu ini akan berasa dekat dan dapat menghayatinya,” katanya.

Menurut Ezad, kolaborasi itu juga memberi peluang untuk dirinya mendekati peminat dalam kalangan generasi baharu.

“Saya dengar lagu ini dua tiga hari sebelum rakaman. Walaupun pertama kali dengar, tapi bagi saya okey dan tak susah. Malah, mereka juga beri kebebasan untuk saya nyanyi dan warnakan lagu ini…jadi tak ada masalah.

“Lagu ini adalah ciptaan sepenuhnya Red. Sejujurnya, ia memberikan satu pengalaman baharu kepada saya. Sebab selama ini tak pernah lagi bekerjasama dengan komposer dan rapper baharu.

“Kadang terfikir juga artis lama kena kerjasama dengan pendatang baharu. Apatah lagi bagi kategori hip hop di mana sekarang muzik ini kembali diminati dan mendapat tempat. Kalau perasan pun, banyak lagu hip hop sedang meningkat naik. Jadi, saya juga kena ikut ‘trend’ semasa.

“Mengambil contoh seperti Datuk M Nasir, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk Jamal Abdillah, percubaan mereka pun menjadi. Selain itu, diharapkan kerjasama ini saya dapat mengumpul peminat dalam kalangan generasi baharu,” ujarnya.

Sementara itu, bagi Bobby D, 24, atau nama sebenarnya Muhammmad Sharif Sharol berkata, kolaborasi bersama Ezad dianggap sesuatu yang istimewa selain menyifatkan ia penghormatan buat diri mereka.

“Lagu ini ciptaan sepenuhnya Red. Pada bahagian saya ada ubah sikit untuk keselesaan saya membawakan lagu ini. Memandangkan saya dan Red bernaung dibawah syarikat rakaman sama iaitu COF Music, jadi ia lebih mudah.

“Menariknya, ini adalah projek pertama kami bekerjasama dengan Ezad. Diakui terkejut dan teruja sebab bekerjasama dengan legenda. Lagu pun berkonsepkan ketuhanan yang tak pernah kami nyanyikan, jadi memang tak sabar nak mendengar hasilnya.

“Lagu ini sudah ada dalam simpanan Red. Dalam kebanyakan koleksi lagu yang ada, lagu ini yang ‘menangkap’ Ezad dan syarikat rakaman.

“Malah, lagu ini sesuai untuk dilancarkan pada bulan Ramadan ini. Keunikan lagu ini, ia berinspirasikan lagu Alhamdulillah. ‘Vibes’ lebih kurang lagu itu. Bahagian chorus, Ezad nyanyikan dengan cara tersendiri…dari segi vokal tak boleh dinafikan. Memang bagus, sedap, lunak dan suara yang mendayu-dayu. Jadi sesuai dengan lagu ini,” ulasnya.