KONSERT yang dinanti-nantikan oleh ribuan peminat muzik rock tanah air dan rantau ini, Revolusi Radja 25 Tahun, secara rasmi dijadualkan semula ke tarikh baharu iaitu 19 September depan.
Persembahan mega yang sepatutnya berlangsung pada 11 Julai di Stadium Hoki Bukit Jalil itu terpaksa ditunda bagi memastikan kelancaran serta kualiti acara yang lebih teratur buat semua yang hadir.
Langkah drastik itu diambil oleh pihak penganjur, DHYAH PRODUCTION bersama rakan strategik INFINITY LOVE CREATIVE VENTURES, setelah menilai secara teliti beberapa faktor persekitaran yang tidak dapat dielakkan.

Antara punca utama penundaan ini adalah berikutan lambakan acara hiburan berskala besar yang berlaku serentak, di samping mengambil kira situasi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor yang sedang berlangsung dalam tempoh tersebut.
Faktor-faktor ini dijangka memberi kesan kepada logistik, kesesakan lalu lintas, dan kemudahan parkir di sekitar lokasi konsert.
Bagi pihak penganjur, keselesaan peminat adalah keutamaan yang tidak boleh dikompromikan. Penjadualan semula ini dilihat sebagai tindakan paling wajar bagi memastikan perjalanan konsert berlangsung dalam suasana yang lebih kondusif dan menyeronokkan.

Wakil daripada DHYAH PRODUCTION, Mahbub Dermawan, menjelaskan bahawa keputusan ini dibuat demi meraikan sambutan ulang tahun ke-25 Radja dengan cara yang lebih bermakna.
“Setelah kami meneliti pelbagai aspek secara mendalam, kami yakin tarikh baharu ini menyediakan ruang yang lebih selesa buat peminat untuk hadir tanpa tekanan logistik.
“Kami benar-benar menghargai kesabaran serta sokongan padu daripada peminat. Fokus utama kami tetap sama, iaitu memastikan konsert ini menjadi satu pengalaman penuh tenaga, nostalgia, dan meninggalkan kenangan indah buat semua yang hadir,”katanya.

Konsert ini nanti bakal menghimpunkan deretan lagu-lagu hits yang menjadi siulan peminat di Malaysia dan Indonesia sepanjang dua dekad perjalanan muzik Radja.
Bukan itu sahaja, bagi menambah keistimewaan malam bersejarah tersebut, pihak penganjur turut mengesahkan kehadiran beberapa artis undangan jemputan yang bakal berkongsi pentas, sekali gus menjadikan persembahan ini jauh lebih eksklusif daripada jangkaan.
Pihak penganjur juga ingin menegaskan bahawa tiket yang telah dibeli sebelum ini adalah kekal sah dan boleh digunakan untuk tarikh baharu pada 19 September depan.
Pihak penganjur turut memohon kemaafan atas sebarang kesulitan yang timbul akibat perubahan jadual ini dan berharap agar para peminat tetap bersemangat untuk memeriahkan malam tersebut.
Bagi peminat yang masih belum mendapatkan tempat, tiket-tiket masih dijual dengan pelbagai kategori harga. Pilihan tiket bermula daripada RM75 (CAT1 – BBC), RM95 (CAT 2 – Yakin), RM155 (GA – Jujur), RM225 (CAT 3 – Patah Hati), RM275 (Tulus – CAT 4), serta pakej eksklusif seperti Cinderella (VIP – RM775) dan Super VIP (RM1,200).
Maklumat lanjut mengenai pembelian tiket serta kemas kini mengenai barisan artis undangan boleh dirujuk di laman sesawang rasmi https://myticket.asia/.
Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada sejarah 25 tahun perjalanan muzik Radja dalam satu malam yang penuh nostalgia ini.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

