DOKUMENTARI Islamik terbitan TV3, Jejak Rasul: Ulama Pewaris Rasul mencatat rekod 2.2 juta tontonan apabila episod keenam bagi edisi ke-27 ditayangkan pada 18 April lalu.
Menampilkan Ahmad Fedtri Yahya sebagai perantara, edisi kali ini membawakan kesinambungan dakwah Islamiah di Tanah Melayu seawal kurun pertama Hijrah.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Datuk Khairul Anwar Salleh berkata, Jejak Rasul 2021 telah mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan sejak minggu pertama bersiaran dengan 1.2 juta penonton (episod 3) dan terkini dengan catatan 2.2 juta penonton di episod 6.
“Walaupun tidak dapat menjalankan penggambaran di Mekah dan Palestin seperti dirancang, saya kagum dengan komitmen dan dedikasi produksi yang berusaha dan berkarya dengan kreatif dalam menyempurnakan edisi tahun ini.
“Penonton tetap dapat menyaksikan naratif dan videografi yang cantik ketika menjejak peninggalan sejarah Islam di Malaysia,” ujarnya.
Jejak Rasul: Ulama Pewaris Rasul yang diterbitkan bersama oleh Muhamad Amin Yusoff dan Fedtri membawakan kesinambungan dakwah Islamiah di Tanah Melayu seawal kurun pertama Hijrah. Sesi penggambaran yang dilakukan selama 41 hari di tujuh negeri membawa para penonton menjejak peninggalan sejarah di Malaysia.
Lokasi Tanah Melayu yang strategik menjadi laluan utama pedagang sutera menghubungkan dunia Timur dan Barat, dengan pelabuhan-pelabuhan di daerah pesisir Tanah Melayu dipercayai menjadi pintu masuk alim ulama.
Episod keenam yang bersiaran pada 18 April lalu, mencari jawapan benarkah sebuah wilayah Islam telah wujud di Melaka sebelum kehadiran Parameswara. Adakah benar Kesultanan Melaka terbentuk hasil dakwah alim ulama asing?
Tonton Jejak Rasul: Ulama Pewaris Rasul yang ditayangkan sebanyak 15 episod, setiap hari Jumaat hingga Ahad, pukul 6.30 petang di TV3.
Penonton juga bileh menyaksikan siaran ulangannya di TV9 pada setiap Sabtu dan Ahad, pukul 10.30 malam.

