tya arifin

PASANGAN selebriti Asyraf Khalid dan Tya Arifin sudah membuat pengakuan maaf kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza berhubung isu memuat naik gambar anak kedua penyanyi tersohor itu.

Asyraf yang juga anak tiri kepada penyanyi Aku Bidadari Syurgamu itu turut memohon maaf selepas berkongsi suasana Siti menerima kunjungan ramai pelawat di sebuah hospital di Selangor sehingga didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP).

“Kami sudah berhubung dengan Mak Iti (Siti Nurhaliza) memohon maaf melalui aplikasi WhatsApp dan panggilan telefon.

“Cuma Mak Iti berpesan, jadikan perkara tersebut satu iktibar pada masa akan datang.

“Insya-Allah, kami akan melawat Mak Iti yang sedang berpantang di rumahnya hujung minggu ini,” ujar Asyraf.

Menurut Asyraf, tindakannya yang memuat naik di laman sosial tidak berniat apa-apa, namun ia sekadar keterujaanya sebagai abang yang mahu berkongsi momen kehadiran adik bongsunya.

“Cuma tak sangka perkongsian itu jadi begini, Apa yang dilakukan hanya berdasarkan pengalaman dan rasa suka sahaja.

“Lepas benda ini tular, memang kami rasa tidak seronok dengan Mak Iti. Hal itu juga telah menyebabkan timbulnya cerita yang lain.

“Apa yang terjadi memang bukan salah Mak Iti atau sesiapa. Salah itu datang daripada kami.

“Minta maaf juga kepada sesiapa yang terguris hati termasuklah Mak Iti sendiri,” tuturnya.

Tambah Asyraf lagi, dia bersama-sama isterinya hadir ke hospital terbabit dengan mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Kami masuk hospital dengan memakai pelitup muka, melakukan pengimbasan kod QR aplikasi MySejahtera, mengambil suhu badan selain menjaga jarak fizikal.

“Kami datang berdua sahaja, malah video-video yang dirakamkan hanya diambil menggunakan telefon bimbit sendiri.

“Tidak timbul isu kami cuba menumpang populariti dengan mencari kandungan digital membabitkan Mak Iti. Isteri saya sudah terbiasa membuat Vlog setiap hari,” jelasnya.

Sementara itu, bagi Tya, selepas kejadian tersebut, dia akui timbul perasaan kurang selesa dan janggal buat dirinya.

“Sejujurnya, saya rasa bersalah dengan apa yang terjadi. Walaupun sudah meminta maaf dengan Mak Iti, ayah (Datuk Seri Khalid Mohamed JIwa) dan mereka di luar sana tetapi masih ada rasa kurang seronok.

“Memang ramai yang marah dan mereka berhak rasa begitu. Sempena bulan Ramadan ini, saya dan suami tak mahu memanjangkan lagi perkara ini.

“Sebaiknya, biarlah Mak Iti berpantang dan membesarkan anak keduanya dengan tenang.

“Sebagai seorang ibu, momen beginilah yang dinantikan Mak Iti untuk melihat anaknya membesar,” katanya.