PERDANA Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha didenda 6,000 baht atau RM782 kerana tidak memakai pelitup muka semasa mesyuarat bersama penasihat pemerolehan vaksinnya.
Pihak berkuasa Bangkok pada Isnin menguatkuasakan perintah wajib pemakaian pelitup muka termasuk di dalam kenderaan yang melebihi seorang penumpang.
Laporan dibuat Gabenor Bangkok Aswin Kwanmuang, yang memuat naik entri di laman sosial Facebooknya memaklumkan telah membuat aduan terhadap Perdana Menteri itu kepada polis.
”Saya memberitahu Perdana Menteri ia adalah pelanggaran peraturan”, kata Aswin Kwanmuang dalam perkongsian di laman Facebook rasminya.
Langkah itu diambil setelah gambar Prayuth muncul di laman Facebooknya tanpa memakai pelitup muka dalam satu pertemuan. Foto itu kemudian dikeluarkan.
Prayuth kemudian membuat semakan mengenai peraturan itu dengan dewan bandar raya.
Mengikut peraturan yang ditetapkan pelitup muka perlu dipakai setiap masa ketika berada di luar kediaman, menyebabkan beliau didenda, kata Aswin.

Siasatan mendapati Prayuth bersalah kerana tidak memakai pelitup muka dan diminta membayar denda.
Pihak berkuasa tempatan menetapkan denda bagi maksimum bagi kesalahan itu sebanyak 20,000 baht dan minimum 6,000 baht.
Semalam,Thailand mengenakan sekatan dan langkah-langkah baharu termasuk mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam di ibu negaranya dalam usaha menghentikan penularan pantas virus COVID-19 di negara itu.
Bangkok, pusat terbaharu penularan pandemik itu yang mencatatkan 9,076 kes COVID-19 dalam masa kurang dari sebulan menyertai sekurang-kurangnya 45 wilayah di negara itu yang mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam atau berdepan hukuman denda yang tinggi sebanyak 20,000 baht (RM2,600).
Media tempatan melaporkan Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) mengumumkan bahawa semua kenderaan yang membawa lebih dari seorang penumpang, walaupun ahli keluarga, wajib memakai pelitup muka.
Thailand mencatatkan 2,048 kes baharu COVID-19 dan lapan kematian semalam menjadikan jumlah jangkitan di negara itu kini 57,508 kes dan 148 kematian.
Ia juga menjadi hari keempat berturut-turut Thailand mencatatkan lebih daripada 2,000 kes COVID-19 dalam sehari.
Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Bagi Situasi COVID-19 (CCSA) Dr Apisamai Srirangsan berkata setakat ini, sejumlah 25,767 orang masih dirawat di hospital dengan 563 orang dalam keadaan serius dan 150 orang memerlukan bantuan alat pernafasan.
“Bangkok akan terus mencatat lebih 500 kes baru setiap hari, hasil ujian massa aktif yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa kesihatan,” katanya pada taklimat harian COVID-19, di Bangkok.
Sementara itu, statistik CCSA menunjukkan semasa gelombang pertama wabak, sebelum pertengahan Disember tahun lepas, Thailand berjaya mengawal COVID-19 dengan 4,237 kes, sementara gelombang kedua (dari 15 Dis hingga 31 Mac), sebanyak 24,626 kes dicatatkan.
Namun, serangan virus terbaru yang bermula di Bangkok, sejumlah 28,645 kes COVID-19 dan 54 kematian dilaporkan hanya dalam 26 hari.
Bagi mengekang wabak itu, BMA juga menutup 31 tempat dan premis termasuk panggung wayang, taman, gimnasium, spa, taska, pusat jagaan kanak-kanak sekurang-kurangnya dua minggu, mulai hari ini hingga 9 Mei.
Kerajaan juga memerintahkan institusi pendidikan dan kelab malam ditutup hingga bulan depan dan penjualan alkohol di restoran juga dilarang.

