KEJAM…Mayat seorang bayi lelaki yang cukup sifat dan masih bertali pusat ditemukan di tepi Jejantas Jalan Jepun, Kampung Delek, Taman Muhamad Yamin, Klang, petang semalam.
Lebih menyayat hati, mayat bayi yang dipercayai ditinggalkan sejak dua hari lalu sedang dihurung semut.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, mayat bayi itu ditemukan seorang pengawal keselamatan wanita berumur 22 tahun.
Menurutnya, polis menerima aduan oleh seorang wanita yang menemui mayat seorang bayi di tepi jejantas berkenaan kira-kira pukul 6.12 petang.
Kata wanita itu, dia menjumpai mayat bayi tersebut semasa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Sungai Sireh dari tempat kerja di Sungai Jati.
“Wanita itu pada awalnya nampak suami isteri berada di lokasi dan memberitahu ada mayat bayi, tetapi tidak menghubungi polis, lalu wanita terbabit menghubungi MERS 999 memaklumkan penemuan mayat bayi itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu Shamsul Amar berkata, siasatan polis mendapati, tempat kejadian adalah bahagian bawah jejantas motosikal Jalan Jepun di tepi landasan kereta api.
Katanya, jarak kawasan perumahan dengan tempat kejadian adalah 100 meter (m) dan jarak dari landasan kereta api kira-kira 10 m.
Namun tegasnya, tiada sebarang kesan kecederaan ketika pemeriksaan awal pada tubuh badan bayi itu.
“Pemeriksaan pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor yang hadir ke tempat kejadian mendapati bayi lelaki cukup sifat, panjang anggaran kurang dari dua kaki bertali pusat.
“Bayi itu dipercayai dibuang ke lokasi kejadian kira-kira dua hari dan polis juga masih menyiasat sama ada bayi itu masih hidup atau sudah meninggal ketika ditinggalkan di situ,” katanya.
Shamsul Amar berkata, mayat bayi itu dihantar ke Hospital Shah Alam untuk proses bedah siasat yang akan dilakukan pada 2 petang hari ini.
Beliau menambah, siasatan dan usaha mengesan suspek diteruskan manakala kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

