ACARA bazar jualan Starvendors Mega Raya Fesr 2021 yang dijadualkan berlangsung pada esok hingga Ahad ini terpaksa ditunda kepada 2 hingga 4 Julai hadapan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Starvendors Event Sdn.Bhd yang juga penyanyi, Ifa Raziah berkata, pihaknya telah berbincang dengan wakil Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mencari jalan penyelesaian selepas Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) yang akan berkuat kuasa pada esok hari.
“Setelah berbincang panjang dan mencari penyelesaian dengan pihak PWTC dan pihak berkuasa, akhirnya pihak kami tidak dapat meneruskan Starvendors Mega Raya Fest 2021.
“Semua acara lain yang sedang dan akan berlangsung di PWTC juga telah dibatalkan.
“Allah datangkan ujian supaya kita kuat, Allah tangguhkan sesuatu supaya kita sabar, Allah hilangkan sesuatu supaya kita sabar, Allah hilangkan sesuatu supaya kita reda, ada hikmahnya. Doa yang baik-baik, Insya-Allah datang baik-baik,” katanya.
Tambah Ifa, keputusan untuk menunda acara itu dilakukan setelah 90 peratus booth sudah dipasang.
Justeru, pihaknya dengan rela hati memulangkan semula bayaran kepada semua peniaga yang terkesan.
Ini sejajar dengan janjinya yang telah dibuat ketika sidang media pada 24 April lalu.
“Proses bayaran balik akan dibuat dalam tempoh 60 hari waktu bekerja bermula dari tarikh 7 Mei. Untuk segala proses pemulangan (refund), hubungi dengan kakitangan Starvendors yang berurusan dengan anda.
“Kami memikirkan juga faktor yang dirisaui oleh semua pihak vendor jadi kami bersedia menampung kerugian. Kami cuba untuk meringankan kerugian pihak vendor dan tidak mahu mereka menanggung kerugian yang lebih besar jika event diteruskan.
“Pihak pengurusan memohon maaf kepada usahawan, selebriti, tenaga kerja, kontraktor, kru dan semua yang telah bekerjasama untuk menjayakan acara kami,” ujarnya.
Bagaimanapun, peniaga turut diberi pilihan sama ada mahu mengekalkan bayaran dan menunda pada tarikh baharu yang sudah ditetapkan atau boleh mendapatkan kembali duit tersebut.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

