PERSENGKETAAN selama tujuh tahun antara selebriti Ifa Raziah dan Roslan Shah akhirnya menemui titik noktah apabila mereka kini kembali menjalinkan hubungan persahabatan.
Ifa atau nama penuhnya Saripah Raziah Mustapha,49, berkata, niat untuk menyambung semula silaturahim sudah lama disimpan memandangkan dia sudah mengenali Roslan sejak 1998.

“Perselisihan faham saya dan Roslan bermula di Malaysia pada awal Januari 2018, hampir tujuh tahun isu kami ini berlarutan.
“Saya sangat bersyukur kepada Allah kerana telah meleraikan Ego Roslan dan saya dan hasilnya silaturahim kembali utuh, Insya-Allah,” katanya kepada URTV.
Ifa berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media Kemaafan Dendam Yang Terindah di sebuah hotel di ibu negara, semalam.
Bercerita lanjut, Ifa memberitahu dia bersyukur sudah kembali berbaik dengan Roslan memandangkan mereka sudah lalui pelbagai kisah pahit manis bersama sepanjang bergelar anak seni dan usahawan berjaya.
Malah hubungan persahabatan yang sudah lama dibina mereka juga sudah dianggap seperti sebuah keluarga.
“Saya rasa bersyukur sangat dapat kembali berbaik dengan Roslan selepas sekian lama. Banyak kisah susah senang kami lalui bersama untuk kecapi kejayaan pada hari ini.
“Saya dan Roslan pun sudah lama bersahabat sehinggakan saya sudah anggap dia seperti ahli keluarga sendiri.
“Sebelum ini, di Singapura kebanyakan peminat di sana sudah jelas dengan situasi kami, jadi untuk peminat di Malaysia, saya dan Roslan sepakat untuk lakukan sidang media bagi menjelaskan perkara sebenar di antara kami berdua.
“Saya ucapkan ribuan terima kasih juga kepada mereka yang sentiasa tidak putus-putus mendoakan agar kami berdua kembali berbaik,” ujarnya.
Terdahulu, nama Ifa dan Roslan menjadi sebutan hangat apabila kontroversi melibatkan mereka berdua sehingga melibatkan pihak polis.
Malah, sebelum ini Ifa pernah dituduh mengupah individu untuk membunuh Roslan sekaligus melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa.
“Tujuh tahun bukan satu tempoh masa singkat. Kami bukan sekadar bergaduh mulut, tapi isu antara kami sangat berat. Itu yang saya berkecil hati dan menjauhkan diri daripada Roslan.
“Kontroversi itu memberi kesan kepada mental saya. Nak maafkan itu memang mudah tapi ketika itu nak melupakan, bukan hal yang senang.
“Sepanjang tujuh tahun itu, Roslan ada juga cuba untuk menghulur salam kemaafan tetapi menerusi orang tengah. Tapi waktu itu mungkin ketika itu hati saya ‘keras’ sedikit,” luahnya.
Dalam pada itu, Ifa berharap isu persengketaan dia dan Roslan dijadikan iktibar serta teladan buat mereka di luar sana yang berdepan perkara sama.
“Saya harap kisah perselisihan faham kami ini dapat dijadikan contoh atau inspirasi. Jika ada masalah dengan sahabat, cubalah cari jalan untuk berdamai.
“Sesungguhnya ia perkara lebih baik dan positif berbanding menyimpan perasaan dendam yang akan merugikan diri sendiri,” katanya yang merancang untuk menunaikan ibadah umrah bersama Roslan.
Sementara itu, Roslan menzahirkan rasa syukur kerana hasratnya untuk menamatkan persengekataan bersama Ifa akhirnya terlaksana pada penghujung tahun ini.

“Sebagai orang Islam, saya tak nak bermusuh dengan orang dalam tempoh lama.
“Sejak beberapa tahun lalu, saya berdepan dengan satu persatu orang sekeliling saya yang sudah meninggal dunia termasuklah ibu saya sendiri.
“Saya terfikir apa pengakhiran saya nanti bila sedang sakit dan sudah meninggal dunia. Sempat atau tidak nak mohon maaf dengan orang yang kita bermusuh nanti?
“Masa saya tunaikan ibadah umrah kali ketiga, saya berdoa nak mati dalam keadaan tenang. Bila saya tahu adik Ifa meninggal dunia, dari situlah bermulahnya jalan damai antara kami,” kongsinya.
Sementara itu, Ifa meluahkan rasa teruja apabila festival anjurannya iaitu Star Vendors KL Mega Raya Fest 2025 bakal mencatatkan sejarah baharu.
Festival yang bertemakan Nostalgia Raya itu akan berlangsung di KLBEC KL BASE Exhibiton Centre, Kuala Lumpur pada 20 hingga 24 Mac 2025. Malah acara itu akan dicatatkan dalam Asia Book Of Records sebagai festival raya terbesar dan terpanjang pernah diadakan.
Mereka yang berminat boleh dapatkan harga promo Early Bird bagi booth indoor bermula RM3,999 (Intermediate), Corner RM4,499 (Corner) dan RM 9,999 (VIP). Manakala harga promo Early Bird booth outdoor pula berharga RM2,699 (Corner), dan RM2,399 (Intermediate).
Harga Early Bird ini hanya ditawarkan sehingga 31 Januari 2025. Untuk maklumat lanjut boleh hubungi nombor 018-3722977.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

