baju sekolah
Gambar Hiasan

DALAM usaha melahirkan generasi yang berilmu pengetahuan, guru menjadi pengajar, pendidik dan pembimbing yang menyumbang khidmat bakti dalam semua bentuk institusi pendidikan daripada tadika sehingga ke peringkat tertinggi.

Bukan itu sahaja, anak-anak yang dilahirkan daripada sistem pendidikan negara juga harus beradab, cemerlang dan mempunyai sifat ingin tahu.

Bagi mencapai hasrat itu, kerajaan akan terus memastikan bahawa tiada murid yang dinafikan daripada menerima pendidikan sewajarnya.

Menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas sempena Sambutan Hari Guru Ke-50 tahun ini, murid daripada segenap lapisan masyarakat termasuk orang asli dan pribumi, murid berkeperluan khas (MBK) dan kanak-kanak tanpa dokumen juga tidak terkecuali daripada mendapat pendidikan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan perutusan khas sempena sambutan Hari Guru Ke-50 yang disiarkan secara langsung di stesen penyiaran televisyen hari ini.

Jelas Muhyiddin, kerajaan juga akan memberikan tumpuan untuk mengurangkan kadar keciciran murid dan memastikan golongan itu turut menerima pendidikan seperti murid yang lain.

Beliau memaklumkan, hasrat itu juga terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 bagi mewujudkan sistem pembelajaran yang bersifat dinamik dan berkesan selain relevan dan fleksibel pada setiap masa serta tempat.

Di bawah pelan itu, kata Muhyiddin, pelaksanaan pendidikan digital sebagai elemen pembelajaran abad ke-21 adalah sejajar dengan anjakan ketujuh PPPM dalam melaksanakan e-pembelajaran iaitu pengajaran berteraskan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).

“Untuk itu, guru hendaklah menyediakan mindset bahawa alam sejagat ini merupakan kelas pembelajaran sepanjang hayat bagi anak-anak kita.

Baca artikel berkaitan: Muhyiddin minta umat Islam doakan keselamatan rakyat Palestin

“Anak-anak yang ingin kita lahirkan haruslah mampu berdepan bukan sahaja dengan keperluan pasaran kerja semasa tetapi bersedia menjadi anggota masyarakat yang berakhlak mulia dan bertamadun serta mampu berdaya saing pada peringkat global,” jelas beliau dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung hari ini.

Sambutan Hari Guru Kali ke-50 tahun ini mengekalkan tema ‘Berguru demi ilmu, bina generasi baharu’.

Sementara itu, Perdana Menteri turut mengumumkan penerima anugerah Tokoh Guru Kebangsaan dan Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan sempena sambutan Hari Guru tahun ini.

Katanya, Noorizan Mohamed telah dipilih sebagai penerima Tokoh Guru Kebangsaan 2021 manakala Datuk Dr Amin Senin dan Datuk Dr. Habibah Abdul Rahim dipilih sebagai penerima anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2021.

Beliau berkata, komitmen jitu guru telah dapat memperkembang potensi murid dan mengetengahkan bakat serta kebolehan diri sendiri dengan kerajaan amat menghargai usaha dan pengorbanan ditonjolkan guru dalam bidang pendidikan.

“Semoga anugerah ini menjadi penyuntik semangat kepada semua warga pendidik untuk terus berusaha dan memberikan sumbangan yang terbaik dalam melonjakkan pendidikan negara serta memastikan Malaysia menjadi sebuah negara yang jauh lebih baik,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram