YAYASAN MyAQSA melancarkan MYAQSA FUND atau TABUNG AQSAKU bagi salurkan secara rasmi dan telus kepada pihak berwajib yang bertanggungjawab menjaga dan menguruskan Masjidil Aqsa dan penduduknya.

Pengerusi Yayasan itu, Suwardi Yaacob berkata, tabung tersebut akan beroperasi dalam tempoh yang terhad, iaitu bermula semalam dan berakhir pada 11 Jun depan.

Berikut kenyataan penuh beliau:

Yayasan MyAQSA (MyAQSA) adalah sebuah badan pertubuhan bukan kerajaan yang ditubuhkan untuk mendepani dan memperjuangkan isu-isu yang berkaitan dengan Masjidil Aqsa secara khusus dan Palestin secara umumnya.

MyAQSA lebih fokus kepada usaha membantu perjuangan rakyat Palestin melalui kaedah perundangan antarabangsa di samping memberi pendedahan kepada rakyat Malaysia tentang fakta Masjidil Aqsa yang sebenarnya untuk mendekatkan lagi mereka dengan masjid ketiga suci umat Islam ini.

Melalui satu pasukan guaman yang ditubuhkan sejak tahun 2018, MyAQSA telah berjaya melakukan kolaborasi dengan Pihak Berkuasa Palestin dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk menyiasat dan mendakwa jenayah perang dan jenayah ke atas kemanusiaan yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel ke atas penduduk Palestin.

Pada September 2019, atas permintaan pihak ICC, satu pasukan guaman MyAQSA seramai 10 orang telah berjaya memasuki Baitulmaqdis untuk mengutip bukti dan menemuramah lebih 30 saksi mengenai jenayah perang Israel di tiga buah perkampungan di sekitar Baitulmaqdis.

Pada Februari 2020, pasukan guaman MyAQSA telah membantu pihak pendakwaraya ICC sebagai Amicus Curiae dengan mengemukakan hujah kepada tiga orang hakim di peringkat Pre-Trial Chambers bagi membuktikan kedaulatan negara Palestin dan bidangkuasa ICC ke atas jenayah perang Israel di Palestin.

Alhamdulillah sebahagian hujah yang dikemukakan oleh MyAQSA telah dijadikan asas pertimbangan Pre-Trial Chambers ICC untuk membuat keputusan yang memihak kepada Palestin dan menjadi asas untuk pihak Pendakwaraya memulakan siasatan formal terhadap jenayah perang dan jenayah ke atas kemanusiaan yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel ke atas Palestin.

Pasukan guaman MyAQSA komited untuk terus berkolaborasi dan membantu pihak ICC sehinggalah Israel berjaya didakwa dan dihukum atas segala bentuk penindasan dan kezaliman yang mereka lakukan ke atas Palestin dan rakyatnya.

Semalam – 15 Mei 2021, genaplah 73 tahun Peristiwa Nakbah di mana Kerajaan HARAM Israel telah dibentuk pada tahun 1948 dengan mengusir hampir 800,000 penduduk Palestin keluar dari tanah mereka.

Dunia menyaksikan bahawa jenayah perang dan jenayah kemanusiaan oleh Israel ke atas penduduk Palestin berlaku hampir setiap hari dan tidak pernah berhenti sehinggalah ke hari ini.

Baru-baru ini, ketika umat Islam menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan, sekali lagi rejim Zionis Israel menunjukkan sikap ganas dan zalim mereka apabila bertindak melakukan beberapa siri serangan ke atas umat yang sedang beribadat di dalam kawasan masjid dengan melepaskan tembakan peluru dan bedilan bom asap sehingga mengakibatkan beratus-ratus umat Islam cedera dan memerlukan rawatan perubatan.

Terdapat juga yang mengalami kecederaan parah dan mengakibatkan kecacatan kekal seperti kehilangan penglihatan. Manakala bangunan dan kemudahan infrastruktur Masjidil Aqsa seperti bilik rawatan juga mengalami kerosakan yang ketara.

Secara jelasnya Masjidil Aqsa dan umat Islam di sekitarnya kini memerlukan bantuan dan pertolongan bagi meringankan bebanan yang ditanggung di samping keperluan untuk membaiki segala bentuk kerosakan yang berlaku.

Alhamdulillah respon dan sikap prihatin yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia amat luar biasa dan membanggakan. Pelbagai pertubuhan dan invidividu masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan latarbelakang telah menyuarakan simpati mereka terhadap nasib Aqsa dan penduduknya di samping meluahkan perasaan amarah yang tidak terhingga terhadap sifat kebinatangan rejim Zionis Israel tersebut.

Pelbagai platform telah diwujudkan dan digunakan bertujuan untuk menghulurkan bantuan kepada kepada Masjid Suci umat Islam ini serta penduduknya.

Tidak terkecuali Yayasan MyAQSA turut dihujani dengan panggilan dan pertanyaan berterusan mengenai cara untuk memberi sumbangan kepada Aqsa dan penduduknya.
Adalah dimaklumkan bahawa sebelum ini MyAQSA tidak pernah melancarkan apa- apa tabung untuk mengutip dana kerana tidak sanggup untuk memikul bebanan amanah yang berat terhadap wang sumbangan orang ramai.

Tetapi kali ini atas desakan dan permintaan ramai, MyAQSA akhirnya bersetuju untuk menyediakan satu platform alternatif bagi menguruskan kutipan dana bagi disalurkan secara rasmi dan telus kepada pihak berwajib yang bertanggungjawab menjaga dan menguruskan Masjidil Aqsa dan penduduknya.

Tabung ini akan dikenali sebagai MYAQSA FUND atau TABUNG AQSAKU yang akan beroperasi dalam tempoh yang terhad, iaitu bermula pada hari ini (15 MEI 2021) dan berakhir pada 30 Syawal 1442H bersamaan 11 Jun 2021.

MyAQSA memberi jaminan bahawa dana yang dikumpulkan nanti akan disalurkan 100% (tanpa dikenakan apa-apa caj dan tanpa dipotong apa-apa peratus bagi tujuan pentadbiran) kepada pihak penerima secara terus dan telus.

Sekiranya dikenakan sebarang caj oleh pihak kewangan yang berkaitan dalam urusan pemindahan dana, maka pihak MyAQSA bersedia untuk menanggungnya. Para penyumbang juga akan diberikan butiran terperinci mengenai perjalanan sumbangan mereka sehingga sampai kepada pihak yang menerima manfaatnya nanti.

Bagi menjayakan usaha ini, pihak MyAQSA akan menjalankan kerjasama dengan pihak Jabatan Wakaf Baitulmaqdis & Hal Ehwal Masjidil Aqsa, Majlis Tertinggi Islam Baitulmaqdis, Pihak Kedutaan Palestin di Malaysia, Palestinian National Fund (PNF) dan juga pihak Gabenor Kota Al-Quds.

Orang ramai atau mana-mana pihak boleh menyalurkan sumbangan menerusi saluran Payment Gateway Billplz (https://www.billplz.com/MyAQSAFund) atau menerusi Cheque/Deposit Tunai/Online Transfer kepada akaun Yayasan MyAQSA (CIMB: 8603464258) dengan rujukan – “MyAQSA Fund” @ “Tabung ASQSAKU”

Marilah kita sama-sama menyumbang dan menjayakan usaha murni membantu Aqsa dan penduduknya. Mudah-mudahan sumbangan kita nanti menjadi sedekah jariah yang berterusan dan menjadi saksi di hadapan Allah SWT bahawa kita telah melakukan sesuatu untuk Aqsa dan penduduknya.

Semoga Allah menerima amalan kami dan amalan kamu.