KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) setakat ini tidak menemukan sebarang petunjuk yang mengaitkan kematian seorang pelajar perempuan tingkatan empat di sebuah sekolah menengah di Seremban dengan unsur buli.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, maklumat awal yang diperoleh daripada keluarga mangsa tidak menunjukkan berlaku sebarang insiden membabitkan perbuatan itu sebelum kejadian.
Menurutnya, berdasarkan penjelasan ibu bapa, remaja berusia 16 tahun berkenaan menjalani kehidupan seperti biasa dan hadir ke sekolah dalam keadaan baik pada pagi kejadian.
“Hasil perbincangan bersama keluarga arwah, tiada perkara yang membangkitkan kemungkinan wujudnya isu buli.
“Arwah juga dilaporkan berada dalam keadaan normal sebelum ke sekolah hari ini,” katanya.
Mohd Azam berkata, walaupun tiada unsur buli dikenal pasti setakat ini, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Negeri Sembilan bersama pihak sekolah sudah diarahkan menjalankan semakan terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Katanya, penelitian itu penting bagi memastikan semua aspek berkaitan insiden berkenaan dapat disiasat secara menyeluruh.
Pada masa sama, beliau memaklumkan semakan awal juga tidak mendapati mangsa mempunyai sejarah penyakit atau rekod perubatan yang diketahui.
“Kita masih mengumpul maklumat dan meneliti semua kemungkinan yang boleh membantu menjelaskan kejadian ini.
“Setakat ini, tiada maklumat yang menunjukkan pelajar terbabit mempunyai masalah kesihatan sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata, KPM akan terus bekerjasama dengan pihak berkaitan dalam siasatan yang sedang dijalankan selain memastikan kebajikan keluarga mangsa diberikan perhatian sewajarnya.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

