MASALAH mental bukanlah satu penyakit yang boleh dibuat main lebih-lebih lagi dalam situasi pandemik COVID-19 ketika ini sekali gus membuatkan berlakunya tekanan hidup.
Golongan yang mempunyai masalah mental perlu mendapatkan rawatan segera dengan masyarakat tidak seharusnya memandang serong kepada penyakit tersebut.
Jika tidak dirawat, pesakit masalah mental bukan sahaja boleh mengakibatkan kecederaan kepada diri sendiri, tetapi juga menyakiti orang lain.
Itu yang berlaku kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang cedera di bahagian perut dipercayai ditikam bapa tirinya yang mempunyai masalah mental.
Dalam kejadian di rumahnya di Kangkar Pulai, Johor Bahru pada 15 Mei lalu, polis menerima aduan daripada seorang doktor yang merawat kanak-kanak berkenaan pada kira-kira pukul 9 pagi.
Menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar, ia selepas ibunya berusia 37 tahun menghantar kanak-kanak malang itu ke sebuah hospital di Iskandar Puteri untuk menerima rawatan.
Baca artikel berkaitan: Bawa bendera Palestin secara bahaya, 8 penunggang direman
Katanya, doktor tersebut memaklumkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan seperti ditikam benda tajam di bahagian perut sebelah kiri.
Dzulkhairi memberitahu, hasil temu bual dengan kanak-kanak berkenaan sebelum pembedahan dijalankan, mangsa memaklumkan telah dicederakan pakciknya sendiri.
“Walau bagaimanapun, hasil siasatan awal mendapati ‘pakcik’ itu merupakan bapa tirinya berusia 38 tahun yang tidak bekerja dan merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU).
“Kanak-kanak tersebut kini berada dalam keadaan stabil dan masih berada di wad hospital untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, motif kejadian itu dipercayai berlaku akibat masalah mental yang dihadapi lelaki berkenaan.
Kata Dzulkhairi, lelaki tersebut telah menerima rawatan sakit mental di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru sejak 2014 dan masih mengambil ubat yang dibekalkan dengan individu terbabit kemudian dibawa ke HSA untuk pemeriksaan lanjut.
“Polis juga telah merampas sebilah pisau panjang berukuran lebih kurang 29.5 sentimeter (cm) beserta hulu pisau yang ditemui di rumah tersebut.
“Lelaki berkenaan telah dibebaskan selepas ditahan reman selama tiga hari mulai 15 Mei lalu dengan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

