PAELSTIN tu Palestin juga bang… undang-undang tetap kena ikut.
Sejak semalam tular aksi sekumpulan penunggang motosikal membawa bendera Palestin di Melaka.
Walaupun semangat itu terserlah, namun tindakan mereka dibimbangi membahayakan penguna jalan raya yang lain jika tak kena gaya.
Malah, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini, aktiviti berkumpulan juga dilarang sama sekali.
Berikutan itu, polis menahan 11 lelaki yang menunggang motosikal secara berkumpulan dalam keadaan berbahaya di Jalan Telok Mas Melaka malam tadi.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, kumpulan lelaki yang berusia antara 17 dan 30 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan berkaitan perbuatan mereka di Balai Polis Kandang.
Beliau berkata, pihaknya menerima laporan pada pukul 8 malam berhubung penyebaran dua klip video berdurasi 23 saat dan 30 saat yang dimuat naik di Facebook Melaka Viral Terkini (Group).
Video itu memaparkan perbuatan sekumpulan lelaki menunggang motosikal secara berkumpulan membawa bendera Palestin yang mengundang bahaya kepada mereka dan pengguna jalan raya yang lain.
“Daripada 11 lelaki yang ditahan, tiga dibebaskan dengan jaminan polis malam tadi manakala lapan lelaki berusia antara 20 dan 30 tahun dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman pagi ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: Sokong Israel di TikTok, penjawat awam ditahan
Pogba, Diallo berdiri bersama Palestin
Afzanizar berkata lapan lelaki itu direman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1957 kerana menunggang kenderaan dalam keadaan melulu dan berbahaya.
Selain itu, mereka juga disiasat di bawah Peraturan 10 (Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021) iaitu tiada seorang pun dengan apa-apa cara boleh menyertai atau terbabit dengan perarakan.
Merkea boleh dikenakan kompaun menurut peraturan berkenaan.
Mengulas lanjut, Afzanizar berkata, pihak polis menasihatkan ibu bapa khususnya agar memantau dan sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak sepanjang tempoh PKP 3.0.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

