Oleh : CHE MAN CHE WIL
Sejak khabar angin tentang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh bakal dilaksanakan kerajaan dalam sehari dua ini, bukan main ramai lagi yang memberi komen. Yang mengejutkan sekali ramai yang menyokong dengan meminta kerajaan segera melaksanakannya, jangan bertangguh lagi.
Warga maya yang sebelum ini begitu kuat mengkritik, menghentam dan mencerca kerajaan pun sudah mula buat pusingan ‘U’ sama-sama menyokong.
Dulu bukan main menentang, macam-macam tanda pagar direka bagi mengkritik PKP yang dilaksanakan oleh kerajaan bagi tujuan melindungi nyawa dan kesejahteraan hidup rakyat.
Berbeza sekali ketika PKP 1.0 dan PKP 2.0 dikuat kuasa dulu, tidak ada apa yang baik, walaupun berbilion ringgit kerajaan keluarkan bagi membantu rakyat berhadapan dengan pandemik tersebut.
Barangkali kumpulan ini baru terasa takut dan cuak dengan angka jangkitan dan kematian yang naik setiap hari! Mungkin sekarang baru nampak ‘rupa dan wajah’ sebenar virus Covid-19!
Tak guna kalau kita masih tidak boleh duduk diam-diam di rumah, masih mahu merayau-rayau di luar dan curi-curi rentas daerah untuk balik kampung sedangkan itulah punca utama penyakit ini merebak.
Pada masa ini kapasiti penggunaan kemudahan rawatan bagi pesakit di hospital sudah melebihi tahap maksimum dan Pusat Rawatan dan Kuarantin Covid-19 Berisiko (PKRC) Rendah di seluruh negara juga sesak dan sudah tidak mampu menampung jumlah pesakit lagi.
Para petugas barisan hadapan juga sudah kepenatan dengan jumlah kes yang tidak turun-turun. Walau penat sekali pun mereka tetap melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi.
Perintah Kawalan Pergerakan ini sama ada penuh atau tidak penuh itu bukan lagi isu pokok kerana perkara paling penting sekarang ialah, setakat mana rakyat boleh akur kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP). Buatlah PKP gajah atau rimau pun kalau perkara asas dalam SOP
seperti pemakaian pelitup muka, penggunaan cecair pembasmi kuman dan penjagaan jarak fizikal pun masih terkial-kial nak patuh.
Inilah yang berlaku sekarang. Masih ramai yang menganggap Covid-19 bukan ‘real’. Mereka memandang mudah dan mengambil sikap acuh tak acuh terhadap arahan Kementerian Kesihatan. Sikap sedemikianlah menjadi punca kepada penularan besar-besaran sebagaimana yang berlaku sekarang.
Prosedur operasi standard ini mungkin hanya terpakai kepada mereka yang ada pengalaman dengan pandemik ini sahaja, yang tahu penangan sebenar virus ini.
Sesetengahnya sudah merasai diri sendiri bagaimana seksanya dijangkiti, kehilangan orang tersayang seperti ibu bapa atau adik beradik atau frontliners di hospital yang setiap hari bergelumang dengan pesakit Covid-19.
Inilah salah satu sebab, perang melawan pandemik ini tidak berkesudahan sampai sekarang. Kalau beginilah sikapnya, janganlah kita berharap pandemik ini hilang dalam waktu terdekat.
Ingat akan tiba waktunya kita akan hidup dalam ketakutan kerana dihantui dengan kejadian atau kes-kes kematian yang berlaku di hadapan mata kita setiap hari!
*Penulis adalah penganalisis politik.

