MCMC, PDRM tumpaskan sindiket kecurian peralatan telekomunikasi di Sarawak

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak berjaya menumpaskan kegiatan penyimpanan peralatan telekomunikasi yang disyaki dicuri sekitar Kuching, Padawan dan Kota Samarahan, Sarawak.

Kejayaan menumpaskan sindiket kecurian peralatan telekomunikasi itu dilaksana menerusi Operasi Bersepadu Op Lusuh yang dilaksanakan pada 18 dan 19 Jun lalu.

MCMC dalam kenyataan memaklumkan, sebuah premis di Kota Samarahan yang dipercayai dijadikan gudang penyimpanan telah diserbu dalam operasi tersebut.

Menurut MCMC, hasil pemeriksaan menemukan pelbagai peralatan telekomunikasi.

Katanya, ia termasuk bateri stesen pemancar dan remote radio unit (RRU) yang dipercayai milik syarikat telekomunikasi serta disyaki diperoleh secara tidak sah.

“Dua individu turut ditahan oleh PDRM bagi membantu siasatan manakala semua peralatan yang ditemui telah disita sebagai bahan bukti.

“Kecurian dan vandalisme terhadap aset telekomunikasi bukan sahaja merupakan satu kesalahan jenayah malah boleh menjejaskan kesinambungan perkhidmatan komunikasi kepada pengguna termasuk perkhidmatan penting yang bergantung kepada rangkaian telekomunikasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, MCMC menegaskan, mana-mana pihak yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 235, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atau Akta 588.

Suruhanjaya itu menjelaskan, pesalah boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Jelasnya, operasi itu mencerminkan kerjasama erat antara MCMC, PDRM, Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) serta agensi penguatkuasaan berkaitan dalam membanteras jenayah yang mengancam keselamatan infrastruktur telekomunikasi negara.

“Kerjasama strategik ini akan terus diperkukuh bagi memastikan rangkaian komunikasi negara kekal selamat, stabil dan berdaya tahan.

“Orang ramai turut digesa supaya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan melibatkan aset telekomunikasi.

“Kerjasama masyarakat amat penting dalam membantu membendung kegiatan jenayah ini daripada terus berleluasa,” jelasnya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Pemuda 23 tahun jatuh 9 meter ketika baiki silo di Ipoh

SEORANG pekerja kilang berdepan detik cemas apabila terjatuh dari ketinggian kira-kira sembilan meter ketika menjalankan kerja pembaikan di sebuah...

More Articles Like This