Vape semakin tidak terkawal, NGO gesa e-rokok diharamkan

Dari Penulis

MASALAH penggunaan rokok elektronik (e-rokok) atau vape dalam kalangan kanak-kanak serta remaja membayangkan kawalan dan penguatkuasaan yang lemah dan sangat membimbangkan lebih-lebih lagi di saat negara sedang bertarung dengan pandemik Covid-19.

Dua video tular baru-baru ini yang menunjukkan kanak-kanak tanpa rasa bersalah menghisap rokok elektronik serta bayi yang dipaksa menggunakannya mengundang pelbagai reaksi dari masyarakat, ada yang menzahirkan kerisauan dan ada juga yang hanya pandang sebelah mata.

Presiden Pertubuhan Wanita Malaysia Untuk Kawalan Tembakau dan Kesihatan (MyWATCH), Roslizawati Md Ali berkata, membekalkan produk merokok terutama yang mengandungi nikotin kepada kanak-kanak di bawah umur merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 17 dari Akta 366 dan juga pelanggaran di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Dalam kenyataannya beliau menegaskan perkara tersebut wajib dipandang serius oleh kerajaan dan penularan masalah berkenaan dalam kalangan kanak-kanak perlu dibendung segera, justeru menggesa agar kerajaan Malaysia melarang penuh penjualan dan penggunaan rokok elektronik dengan segera.

Kenyataan bersama itu turut disokong oleh Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Persatuan Kesihatan Remaja Malaysia (MAAH), Pertubuhan Green Lung Malaysia, Pesuruhjaya Kanak-kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia, Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA), dan 50 badan profesional dan badan bukan kerajaan yang lain.

Menurut beliau, masalah penggunaan rokok elektronik telah menular sejak 2016 dan dilihat semakin meruncing sejak 2018 apabila evolusi rokok elektronik timbul dengan pelbagai perisa dan bentuk yang lebih kecil.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melalui kenyataan yang telah dikeluarkan pada 30 Jun 2020 dan disokong dengan beberapa kajian yang dijalankan di luar negara menunjukkan penggunaan rokok termasuk rokok elektronik meningkatkan risiko komplikasi yang lebih teruk sekiranya dijangkiti virus COVID-19.

Penggunaan rokok elektronik samada mengandungi nikotin atau tidak, akan memberikan implikasi kepada kesihatan dan lebih membimbangkan penggunaan nikotin dalam kalangan kanak-kanak akan memberikan impak kepada perkembangan otak serta meningkatkan risiko untuk terjebak dengan penyalahgunaan bahan terlarang yang lain.

Roslizawati juga menyangkal dakwaan industri rokok elektronik yang mengatakan penggunaan dengan paras nikotin yang selamat boleh diperkenalkan, kerana nikotin serendah 2mg boleh menyebabkan gangguan kepada perut dan usus manakala dos yang lebih tinggi boleh menyebabkan sawan dan kegagalan pernafasan.

Kerajaan Malaysia pada Oktober 2016 telah memutuskan agar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengawal selia dengan ketat rokok elektronik yang mengandungi nikotin di bawah Akta Racun 1952, yang bermakna sebarang cecair rokok elektronik yang mengandungi nikotin tidak sepatutnya berada di pasaran Malaysia.

Malangnya pihak industri sendiri telah membuat kenyataan terbuka yang menyatakan bahawa hampir 80 peratus cecair rokok elektronik di pasaran mengandungi nikotin dan cadangan agar kerajaan memperluaskan industri itu dengan menghalalkan nikotin adalah sangat tidak beretika.

Hal itu jelas menunjukkan bahawa keputusan kerajaan pada tahun 2016 masih tidak kukuh untuk memastikan masalah penggunaan rokok elektronik dikawal sepenuhnya di Malaysia.

Justeru menurut beliau, larangan penuh perlu dikuatkuasakan segera sebagaimana negara-negara jiran seperti Thailand, Singapura, Kemboja dan Brunei demi menjaga kesihatan rakyat Malaysia terutama di kala pandemik Covid-19.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

‘Dakwaan azan subuh ganggu tidur’ insiden lama, telah lalui proses tindakan

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih susulan penularan...

More Articles Like This