SEJAK awal lagi apabila pandemik COVID-19 mula menular, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memberi peringatan untuk terus duduk di rumah dan mengamalkan kawalan pergerakan kendiri.
Nasihat itu telah berulang kali diungkapkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah terutama menerusi media sosialnya supaya rantaian jangkitan dapat diputuskan.
Itu bukanlah ‘cakap kosong’ kerana situasi di fasiliti kesihatan dilihat semakin hari semakin menggusarkan apatah lagi selepas kes baharu harian mencecah lebih 9,000, semalam.
Menurut Dr. Noor Hisham, jumlah kes COVID-19 dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) termasuk yang disahkan, dalam siasatan dan sedang menunggu keputusan telah mencecah hampir 1,200 – jumlah tertinggi sejak pandemik ini bermula tahun lalu.
Secara keseluruhannya, kata beliau, jumlah katil ICU yang dikhaskan untuk pesakit COVID-19 pada masa ini telah mencapai 1,114 katil.
Beliau memaklumkan, KKM telah menambah kapasiti katil ICU untuk pesakit COVID-19 secara berfasa dengan 439 katil tambahan telah dapat disediakan dalam tempoh tiga minggu bulan ini.

Namun begitu, kata Dr. Noor Hisham, kadar penggunaan katil ICU masih di tahap melebihi 100 peratus.
“Kebanyakan katil ICU buat masa ini digunakan untuk pesakit COVID-19, lantas menyebabkan peluang pesakit bukan COVID-19 yang lain untuk menerima rawatan rapi lebih tipis.
Baca artikel berkaitan: 98 kematian termasuk remaja 18 tahun, 844 lagi di ICU
“Keadaan ini sememangnya amat menggusarkan terutama buat petugas kesihatan dan pesakit-pesakit bukan COVID-19.
“Ini menyebabkan ada pesakit yang terpaksa dirawat di wad-wad biasa,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook beliau hari ini.
Mengulas lanjut, Dr. Noor Hisham berkata, KKM akan terus mengenal pasti lebih banyak ruang dalam hospital untuk ditukar fungsi sebagai katil ICU dan menyediakan peralatan perubatan serta kelengkapan lain yang diperlukan.
Malah kata beliau, Hospital Medan ICU di Hospital Kepala Batas serta cadangan pengambilmilikan sementara Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) juga adalah antara langkah meningkatkan kapasiti ICU seterusnya.
Walaupun begitu, Dr. Noor Hisham memaklumkan, sumber tenaga manusia menjadi cabaran utama dengan ramai anggota telah pun dimobilisasi untuk menjalankan fungsi-fungsi lain dalam pengurusan pandemik ini.
“Anggota KKM daripada pelbagai kategori termasuk pakar bedah di beberapa hospital telah pun dikerahkan untuk merawat pesakit COVID-19.
“Marilah kita kekal duduk di rumah. Jika anda mempunyai urusan penting di luar, pastikan anda mematuhi prosedur operasi standard (SOP) agar diri dan ahli keluarga dilindungi. Kita jaga kita,” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

