GENRE hip hop boleh dianggap seperti satu genre muzik yang mampu ‘menyelamat’. Ia adalah bunyian yang membina sehingga menjadi kukuh dan tidak termusnah. Ia mampu menaikkansemangat dan mengajar untuk menentang rintangan.
Di kala dunia dilanda pandemik, keselamatan yang paling penting untuk kita semua.
Oleh sebab itu, empat bintang hip hop popular, DJ Cza,Tuju, Loca B dan MK, barisan hadapan jagoan hip hop masa kini telah bersetuju untuk melancarkan single Veto keluaran Def Jam Recordings Malaysia.
Mereka memberitahu bahawa, setiap seorang daripadanya terpaksa berhadapan dengan pelbagai halangan untuk berada di tahap yang mereka kecapi sekarang.
Dan satu perkara yang membezakan perjuangan mereka adalah semangat kental yang menghalang dari berputus asa. Saat ditanya apa erti Veto, semua sepakat mengatakan ia membawa erti ‘kuasa”.
Jika fokus untuk mencapai tujuan dan matlamat, sesukar mana pun cabarannya, kita akan berjaya. Seperti yang dijelaskan DJ Cza, Veto adalah lagu berunsur motivasi, dan rimanya membangkitkan semangat.
Ia seolah-olah menciptakan sesuatu daripada kosong dengan cara berfikiran positif dan tidak menoleh ke belakang.
Semangat kental itu sangat ketara dari lagu ini sehinggalah irama muziknya.
Sementara itu, bagi Tuju, Veto diilhamkan dari lagu Dior oleh bekas bintang hip hop Pop Smoke. Sebab itu anda akan mendengar gaya dan lenggok dari ‘Brooklyn drill’ dalam Veto.
“Sulaman bass dan perkusi yang digabung dengan baik serta digarap dengan bunyian Asia Tenggara menjadikannya satu karya penuh jiwa yang hebat dan luar biasa,” katanya.
Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Veto adalah satu peringatan bahawa harapan masih ada. Wakil-wakil K-Clique iaitu MK dan Tuju memberikan persembahan terbaik dengan sedikit sentuhan nada gospel, sementara Loca B menyelitkan secebis keindahan dalam kuasa persembahannya.
Diiringi video muzik arahan Shahrin Bahar yang pernah menghasilkan visual hebat lagu CIAO oleh Joe Flizzow.
Dengan tetapan LED 360 darjah, video ini berjaya menzahirkan impak lagu ini ke dalam bentuk visual dengan penuh jaya.
Seperti kehebatan audionya, seni visualnya juga canggih dan luar biasa. Ia pasti menarik perhatian dunia umum!