SEJAK pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan oleh kerajaan setahun lalu, penyanyi dan pelakon Siti Nordiana akui persembahan pentas terpaksa dibatalkan sekaligus menjejaskan pendapatannya.

Siti Nordiana atau mesra disapa sebagai Nana mendedahkan skekitar 60 peratus kewangannya terjejas sejak penularan Covid-19 ‘menyerang’ negara awal tahun lalu.

Bagaimanapun, Nana bersyukur kerana dia mempunyai simpanan yang boleh digunakan sewaktu berhadapan dengan kecemasan.

“Kita dah dua kali PKP dan sekarang Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) dilaksanakan kerajaan. 60 peratus pendapatan saya terjejas sejak awal tahun lalu kerana persembahan pentas tidak dibenarkan.

“Namun saya bersyukur sebab ada simpanan yang boleh digunakan seperti waktu sekarang.

“Memang sangat membantu untuk saya teruskan hidup selain dapat membayar komitmen bulanan,” katanya.

Ekoran pandemik itu jugalah membuatkan Nana perlu mencari peluang dengan lebih kreatif bagi menjana pendapatan.

Justeru, dia sudah mula membuat ‘cover song’ dan memuat naik video di saluran Youtube miliknya sebagai satu cara menambah sumber pendapatan.

“Bila dah tak boleh buat persembahan di luar, ia sedikit sebanyak mendorong untuk saya berfikir lebih kreatif mcm mana nak buat duit.

“Sekarang ini saya perlahan-lahan gunakan platform media sosial seperti buat ‘cover song’ dan video tersebut saya muat naik di Youtube. Selain itu, saya juga ada menjual CD dan tudung di e-dagang Shopee.

“Ada juga beberapa kempen berbayar yang saya perlu buat. Syukur alhamdulillah, sekurang-kurangnya ada pendapatan daripada langsung tiada,” ujarnya.

Nana berkata demikian pada sidang media single terbaharunya berjudul Cukup Derita Itu yang diadakan secara maya.

Dalam perkembangan lain, Nana atau nama penuhnya Siti Nordiana Alias,37, masih lagi menanti giliran untuk mendapatkan vaksin Covid-19 yang diberikan percuma kepada rakyat Malaysia.

“Kalau boleh saya memang nak divaksin segera tapi permohonan masih lagi belum berjaya. Saya memang tidak akan lepaskan peluang itu sebab ia merupakan pelindungan kesihatan diri.

“Saya nasihatkan buat mereka yang berjaya mendapatkan slot untuk divaksin, jangan sia-siakan peluang itu. Jangan takut untuk ambil vaksin.

“Janganlah tak hadirkan diri ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seperti yang sudah dijadualkan dalam sistem. Kasihan pada orang lain yang nak sangat divaksin tapi masih lagi menanti giliran,” katanya.