Gua Kerbau – Kisah kerbau yang berubah jadi batu setelah kalah dalam pertandingan, atau angkara sang kelembai

0
2504

Kodiang merupakan sebuah kawasan dalam daerah Kubang Pasu di Kedah. Kawasan yang bersempadan dengan Perlis ini memang tidak asing lagi dengan pelbagai informasi tinggalan sejarah. Salah satunya adalah sebuah gua batu kapur yang digelar sebagai Gua Kerbau.

Terletak di Bukit Keplu Kampung Kodiang Lama, kira-kira 50 kilometer dari Alor Star, gua ini dikatakan terbentuk sejak 200 hingga 300 juta tahun lalu.

Menurut Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Kedah,Perlis, dan Pulau Pinang, keseluruhan keadaan geologi di kawasan gua itu terdiri daripada bukit  yang terbentuk daripada struktur batuan kapur.

Batuan di sini membentuk satu keadaan yang dipanggil ‘topografi mogot’ di kawasan yang dikelilingi oleh enapan alluvium- mendapan tanah subur yang terdiri daripada lumpur, kelodak dan pasir.

Gua Kerbau.

Berdasarkan penyelidikan yang dilakukan sebelum ini, gua tersebut dikatakan pernah menjadi  satu lokasi penempatan bagi masyarakat purba. Ia dibuktikan melalui beberapa penemuan artifak antaranya alat-alat yang diperbuat dengan menggunakan batu oleh penduduk prasejarah neolitik.

Selain itu, turut dijumpai beberapa lagi peralatan seperti tembikar berkaki tiga yang dikatakan mempunyai persamaan dengan penemuan di Bukit Tungku Lembu, Perlis dan di Bankao, Thailand.

Kira-kira 200 meter dari Gua tersebut, turut ditemui lakaran purba yang berbentuk manusia dan binatang pada bahagian dinding sebuah gua yang dikenali sebagai Gua Batu Putih. Melalui maklumat lisan yang diperoleh daripada penduduk tempatan, lakaran tersebut mungkin dilukis oleh masyarakat Orang Asli yang pernah mendiami kawasan gua berkenaan.  

Pihak JMG telah melakukan kajian di kawasan gua tersebut. Apa yang menariknya, kawasan berkenaan berpotensi untuk disenaraikan sebagai salah sebuah tapak geowarisan di negara ini. 

Sementara itu, seorang penduduk kampung, Harun Hussain berkata, Gua Kerbau juga terkenal dengan cerita mitos Sang Kelembai. Mengikut versi di sini, Sang Kelembai dikatakan telah menyumpah seekor kerbau menjadi batu di kawasan gua ini.

Merujuk kepada fakta sejarah negeri Kedah, dahulunya Kodiang pernah menjadi pusat pemerintahan dan ketenteraan bagi kerajaan Kedah sejak 300 tahun lalu (1321-1619). Di kawasan ini juga, kata Harun, turut wujud sebuah kota yang digelar sebagai ‘Kota Si Puteh’.  

Ekoran keadaan itu, gua tersebut dikatakan pernah menjadi lokasi yang penting bagi angkatan perang Kedah. Kata Harun, sewaktu pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin (1804-1843), telah berlaku satu peristiwa peperangan yang hebat di antara angkatan perang Siam. Justeru, gua berkenaan dijadikan sebagai markas utama angkatan perang Kedah bagi melatih tentera mereka untuk menentang angkatan tentera Siam.   

Ketika menjadi tempat latihan angkatan tentera, gua tersebut dikatakan mampu memuatkan seramai 70 hingga 100 orang bagi menjalani latihan dalam satu-satu masa. Selain itu, ia turut dilihat sebagai satu lokasi yang strategik sebagai tempat persembunyian angkatan perang Kedah daripada serangan tentera Siam.

Oleh sebab Kodiang pernah dijadikan pusat ketenteraan dan pentadbiran, sehingga hari ini dua golongan bangsawan terbesar masih mendiami kawasan tersebut. Dua golongan bangsawan tersebut adalah daripada keturunan yang membawa gelaran ‘Ku’ dan ‘Syed’.

Mengikut salasilah dua keturunan bangsawan itu, gelaran ‘Ku’ difahamkan datang daripada keturunan raja dari Kota Si Puteh manakala bagi gelaran ‘Syed’ pula daripada raja dari negeri Perlis.

Tambah Harun, salasilah kedua-dua keturunan bukan sahaja menetap di Kodiang malah turut dikaitkan mempunyai pertalian dengan keturunan raja di Satun, Thailand.

Selain versi sumpahan sang kelembai, terdapat juga versi lain tentang asal usul nama gua ini. Dikatakan ia diambil sempena satu peristiwa acara laga kerbau di sebuah padang di Kampung Kodiang lama.

Versi Sang Kelembai dan laga kerbau yang dikaitkan dengan Gua Kerbau.

Dikatakan seekor kerbau yang kalah dalam pertandingan itu telah lari ke gua berkenaan. Sebab itu gua tersebut digelar Gua Kerbau.

Ada juga versi yang menceritakan bahawa tidak lama selepas kerbau itu lari ke dalam gua itu, muncul seketul batu besar yang menyerupai bentuk seekor kerbau yang sedang tidur di pintu masuk gua berkenaan. Bermula dari situlah penduduk di kawasan tersebut menggelarnya sebagai Gua Kerbau.

___________

Baca juga kisah legenda di Perak ini : Legenda kolam buaya emas di Bota. Dihuni 3 ekor buaya bersisik emas yang muncul dari Sungai Perak

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram