TIGA tahun berada di bawah naungan syarikat rakaman Warner Music Malaysia (WMM), kini sudah tiba masa untuk penyanyi Elizabeth Tan cuba berdikari menguruskan karier seninya sendiri.
Menurut Elizabeth atau mesra disapa sebagai Lizzy, dia akui bukan mudah untuk membuat keputusan itu lebih-lebih lagi apabila ia membabitkan hal perundangan meskipun kontraknya sudah tamat awal Februari lalu.
Bagaimanapun, Lizzy enggan berkongsi butiran lanjut atas dasar apa yang memaksa dirinya dan pihak WMM menggunakan khidmat guaman.
“Kontrak saya bersama WMM sudah tamat secara rasmi pada awal Februari lalu. Semua perjanjian dalam kontrak telah pun saya selesaikan malah saya juga ada bukti-bukti kerja yang telah dilaksanakan.
“Saya akui memang berdepan kesukaran untuk keluar daripada syarikat terbabit dan masalah dalaman akan tetap terjadi tidak kira apa bidang sekalipun.
“Surat guaman daripada pihak saya telah dihantar kepada WMM sejak Februari lalu, namun kata putus masih belum dapat dicapai,” katanya kepada URTV.
Lizzy berkata demikian ketika sesi sidang media mengumumkan pengunduran dirinya sekaligus tidak lagi bergelar artis naungan WMM, sebentar tadi.
Sementara itu, penyanyi lagu Knock Knock ini nekad untuk keluar daripada WMM disebabkan mahu mengalihkan fokusnya kepada bidang perniagaan serta lakonan.
“Saya mahu keluar dengan cara baik. Malah, saya sangat yakin sudah menjalankan tanggungjawab dengan merakamkan 10 buah lagu seperti yang dipersetujui dalam kontrak tiga tahun lalu. Secara teknikalnya, saya memang bukan lagi artis naungan WMM. Saya berterima kasih kepada mereka kerana telah menaikkan nama saya.
“Selepas ini saya mahu memberi tumpuan pula kepada minat lain dan tidak tertumpu kepada muzik semata-mata. Dalam erti kata lain, saya mahu melangkah keluar dari zon selesa selama ini iaitu selepas tujuh tahun menjadi penyanyi.
“Saya mahu kembangkan karier lakonan dan perniagaan yang baharu sahaja diusahakan. Saya masih akan mengeluarkan muzik, tapi keutamaan dan arah tuju selepas ini sedikit berubah.
“Mungkin dalam masa tiga atau enam bulan saya akan uruskan diri sendiri dengan bantuan ibu serta pembantu saya, Athirah,” jelasnya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

