Iklan promosi ‘kegemaran M.Nasir’ tanpa kebenaran, Grab kena saman RM5 juta

Dari Penulis

SIAPA yang tidak kenal dengan susuk tubuh maestro muzik legenda tanah air, Datuk M. Nasir? Sentiasa tampil tenang dan berkaliber, namun kali ini penyanyi dan komposer tersohor ini nampaknya terpaksa mengambil tindakan undang-undang demi mempertahankan nama baik serta reputasi jenamanya yang didakwa telah dieksploitasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Gara-gara dakwaan penggunaan nama tanpa kebenaran untuk tujuan promosi komersial, M. Nasir atau nama sebenarny Mohd. Nasir Mohamed, 69 bersama syarikat miliknya, Luncai Emas Sdn Bhd tidak berdiam diri dan memfailkan saman ke atas syarikat MyTeksi Sdn. Bhd.

Tuntutan saman tersebut telah pun difailkan secara rasmi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 27 April lalu menerusi perwakilan peguam bela, Tetuan Zulpadli & Edham, dengan menamakan MyTeksi selaku defendan tunggal.

Difahamkan, kemelut itu tercetus apabila satu hantaran promosi dimuat naik di platform media sosial Instagram rasmi pihak defendan iaitu di akaun @grabmy dan @grabfoodmy pada 23 April 2025. 

Hantaran tersebut secara terang-terangan memaparkan visual secawan dan setin kopi yang dilabelkan dengan perkataan “GrabFood” dan “GrabMart”.

Lebih memanaskan keadaan, kapsyen yang disertakan pada iklan berkenaan seolah-olah menggunakan taktik menangguk di air yang keruh apabila menulis, “Kopi-kopi kegemaran M Nasir” dan disusuli pula dengan frasa “Dua-dua pun Grab ada”. 

Tindakan berani ini ternyata memetik nama figura besar industri hiburan itu tanpa sebarang kebenaran mahupun persetujuan hitam putih.

Berdasarkan writ saman dan pernyataan tuntutan yang diperoleh pihak media, Luncai Emas dan M. Nasir tampil selaku plaintif menyatakan bantahan tegas terhadap kempen pemasaran tersebut.

“Iklan dan penyataan tersebut secara langsung dan jelas merujuk kepada M. Nasir dengan menggunakan nama beliau dan seterusnya memberi gambaran bahawa produk atau perkhidmatan tersebut dihasilkan atau dikeluarkan M. Nasir,” tegas kenyataan tuntutan tersebut.

Promosi yang dilakukan ini nyata memberi bayangan seolah-olah pelantun lagu Mentera Semerah Padi itu bersetuju menjadi wajah atau duta kepada jenama berkenaan.

“Penyataan tersebut dengan jelas mencadangkanM. Nasir menyokong atau mengendors produk atau perkhidmatan GrabFood dan GrabMart dan tindakan ini memberi kesan negatif terhadap nama baik M. Nasir kerana tiada sebarang kerjasama atau hubungan rasmi antara beliau dengan Defendan,” ujarnya.

Menurut plaintif, perbuatan defendan ini adalah satu bentuk salah nyata (misrepresentation) yang mencetuskan kekeliruan dalam kalangan orang awam, terutamanya peminat tegar M. Nasir. 

Lebih mengecewakan, kempen itu dilancarkan tanpa sebarang nota penafian (disclaimer) bagi menjelaskan sama ada nama “M. Nasir” itu merujuk kepada individu lain atau mengesahkan penyanyi itu tidak terbabit secara langsung.

Sedar namanya digunakan sebagai ‘pelaris’ jualan demi mengaut keuntungan atas angin, M. Nasir dan Luncai Emas kini menuntut keadilan. 

Pihak plaintif menuntut ganti rugi am, bersama ganti rugi teladan bernilai RM3 juta dan ganti rugi teruk sebanyak RM2 juta menjadikan jumlah keseluruhan tuntutan spesifik mencecah RM5 juta!

Di samping faedah dan kos, plaintif turut memohon satu perintah injunksi bagi menghalang pihak defendan, ejen, serta pekerjanya daripada terus menggunakan nama dan jenama “M. Nasir” bagi tujuan menjual produk serta perkhidmatan mereka.

Peminat pastinya mahu melihat keadilan berpihak kepada yang benar. Sama-sama kita nantikan perkembangan kes ini apabila mahkamah menetapkan tarikh 29 Jun depan untuk pengurusan kes saman secara e-Review.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

“Mama takut kecewakan kakak lagi…,” – Demi impian Tiara nak adik, isteri Achey cekal tempuh rawatan IVF

DI sebalik tawa dan jenaka yang sering menghiburkan jutaan peminat, pelawak popular Achey memendam hasrat dan tekad yang besar...

More Articles Like This