BARU-baru ini, industri hiburan Indonesia dikejutkan dengan satu lagi kontroversi yang melibatkan vokalis kumpulan D’Masiv, Rian Ekky Pradipta yang didakwa cuba melakukan gangguan seksual terhadap seorang remaja bawah umur.
Pembongkaran itu dipercayai didedahkan oleh seorang penulis dan penganalisis muzik Indonesia yang dikenali sebagai Allahyarham Denny Sakrie yang merupakan bapa kepada mangsa perempuan.
Memetik laporan CNN Indonesia, pendedahan itu ‘dibogelkan’ sendiri oleh adik kandung Denny yang menggunakan akaun Twitter milik abangnya.
Rian dikatakan telah menganggu dengan menghantar mesej di Facebook Messenger dan mengajak remaja itu ke sebuah hotel yang terletak di Bali.
Perkara itu bukan sekadar rekaan apabila ibu mangsa, Mieke Hendrawati turut mengesahkan kontroversi yang melibatkan anak gadisnya itu.
“@RianEkkyP menggoda anak saudara saya. Dia menyuruh anak saudara saya datang ke bilik hotelnya di Bali. Dia menghubungi menerusi panggilan media inbox (Facebook Messenger) pada pukul 3 pagi.
“Mahu diselesaikan hari ini dan Rian sudah bersetuju tetap tidak datang,” tulis ciapan itu di Twitter.

Pihak media Indonesia telah cuba menghubungi Rian susulan kontroversi tersebut namun tidak berjaya selepas pelantun lagu Rindu Ini Membunuhku itu tidak menjawab panggilan telefon dan tidak membalas kiriman WhatsApp.
Bagaimanapun pengurus D’Masiv iaitu Sisil telah berkomunikasi dengan Rian bagi membincangkan isu tersebut. Namun, dia masih lagi belum menghubungi keluarga Denny.
Tegas Sisil, kontroversi yang membabitkan artis jagaannya itu adalah fitnah yang ingin menjatuhkan reputasinya.
Untuk info, Denny meninggal dunia pada Januari 2015 akibat serangan jantung pada usia 51 tahun.

