HASRAT penyanyi rap dan usahawan terkenal, Caprice untuk menjejakkan kaki ke bumi Gaza, Palestin akhirnya tertunai.
Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, berkongsi berita gembira itu menerusi akaun Instagram miliknya yang mendapt kebenaran pada saat akhir untuk menjalankan misi kemanusiaan di bumi bergolak itu.
“Tolong doakan saya Malaysia. Saat akhir saya dapat kebenaran untuk masuk ke Mesir-Gaza.
“Cuma kita kena terbang seorang. Maafkan untuk segala kesilapan saya, halalkan makan dan minum saya.
“Insya-Allah, saya akan buat anda semua bangga. Demi ummah, rakyat dan negara,” tulisnya.
Malah, Caprice turut memuat naik video yang memaparkan diri berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menerusi semakan URTV di Insta Storynya, Caprice kini sudah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai bagi menanti penerbangan ke destinasi seterusnya iaitu Kaherah, Mesir.
Sebelum ini, Caprice pernah menyuarakan hajatnya untuk mengikuti jejak pendakwah bebas, Ebit Lew yang kini berada di Gaza.
Difahamkan juga, Caprice sepatutnya berangkat pada awal Jun lalu namun terpaksa menangguhkan buat sementara waktu disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tidak membenarkan sebarang aktiviti rentas sempadan negara.

