Mandian pertama si manja. Ini panduan berguna buat anda

Dari Penulis

Saat pertama kali memegang dan mendakap si kecil, sudah tentu terasa getarnya. Masakan tidak, bayi masih lembik dan anda ragu-ragu untuk menyentuh bimbang kalau-kalau menyakitinya. Sebenarnya bayi anda kuat dan bukan seperti yang anda sangkakan sebelum ini.

Menurut Pakar Pediatrik, Datuk Dr. Zulkifli Ismail, terdapat beberapa cara ibu bapa boleh berkomunikasi dengan bayi yang baru lahir. Salah satu caranya adalah menerusi sentuhan. Semasa memandikan bayi memberi kesempatan kepada ibu bapa untuk menyentuh serta memegang mereka.

Memandikan bayi buat kali pertama akan menyebabkan bayi meragam tetapi jangan risau kerana ia hanya bersifat sementara. Gunakan pendekatan secara lembut sewaktu memegang bayi dan aspek paling penting adalah memilih masa yang bersesuaian untuk memandikannya.

“Sediakan perkakas mandi serta barang-barang yang diperlukan dengan lengkap sebelum memandikan bayi. Sekiranya segala-galanya diuruskan dengan baik, bayi akan dapat dimandikan dengan lebih sempurna dan seronok.

“Bayi yang baru lahir hingga ke usia 10 minggu mudah berasa kesejukan (hipotermia), jadi suhu di ruang bilik mestilah sentiasa sederhana, selesa dan tiada aliran udara yang kuat. Seelok- eloknya bayi dimandikan sebelum diberi makan agar dia tidak muntah kerana kurang selesa.

“Perlu diingatkan, semasa anda memandikan bayi, anda sepatutnya tiada gangguan dan berada dalam keadaan tenang dan yakin. Elakkan sebarang gangguan seperti panggilan telefon dan sebagainya agar si bayi tidak ditinggalkan keseorangan di dalam tab mandi,” pesannya lagi.

BERIKUT ADALAH PANDUAN MEMANDIKAN BAYI

Berkomunikasi dengan bayi

● Ambil kesempatan untuk bercakap dengan si kecil untuk menenangkannya.

● Tanggalkan pakaian perlahan-lahan dan balut badannya dengan tuala. Biarkan dahulu lampinnya tanpa dibuka.

Cuci muka bayi

● Mulakan dengan membasuh muka bayi. Basahkan bebola kapas dengan air suam.

● Bersihkan bahagian mata dengan cara mengesat dari sudut sebelah dalam membawa ke luar.

● Kemudian kesat sekeliling mulut dan lap muka bayi daripada bahagian tengah ke luar.

● Jangan lupa bersihkan bahagian yang tersorok seperti di lipatan leher, pusat, kelengkang dan di sebalik telinga kerana pada bahagian inilah mudah berlaku jangkitan kulat.

● Gunakan putik kapas untuk membersihkan bahagian tubuh yang terlindung. Untuk keselamatan bayi, pegang kapas di hujung putik dan hanya bersihkan bahagian luar dan jangan memasukkan sesuatu terlalu ke dalam telinga atau hidung bayi.

Cuci rambut bayi

● Dalam keadaan bayi masih berbalut dengan tuala, ken- dong bayi dengan cara memegang tengkuknya sambil menyokong kepala dengan tangan dan badannya dengan lengan anda.

● Basahkan rambut dengan sebelah tangan yang lain dan lumurkan dengan sedikit syampu bayi. Perlahan-lahan urut seluruh kepalanya.

● Bilas syampu dengan rapi agar benar-benar bersih.

● Seterusnya baringkan bayi dan kesat kepalanya perlahan-lahan. Bagi bayi pramatang, segera tutup kepala mereka dengan tuala supaya kepanasan badannya tidak keluar.

Bersihkan badan bayi

● Tanggalkan tuala dan selubungkan kepalanya dengan hujung tuala jika kesejukan.

● Tanggalkan lampin dan sekiranya bayi membuang air besar, cuci bahagian punggungnya terlebih dahulu sebelum memasukkannya ke dalam tab mandi.

● Masukkan bayi dalam tab menggunakan pegangan yang selamat. Oleh kerana bayi tidak mampu mengawal leher dan punggung, pegang mereka dengan erat.

● Dengan menggunakan tuala muka, bersihkan semua lipatan kulit bayi dan juga kawasan lampin.

● Kebanyakan bayi gemar saat ini dan biarkan bayi menikmati seketika mandiannya.

● Semasa mengeluarkan bayi, kuatkan pegangan anda kerana badannya basah dan licin. Angkat dan selubungnya dengan tuala secepat mungkin. Lap kering semua lipatan kulit.

Jagaan kulit bayi

● Sebelum berpakaian, sapukan barangan jagaan kulit bayi bagi melembapkan kulit bayi supaya lebih selesa. Sentuh dan belai bayi anda dengan mesra. Tuangkan bedak di tapak tangan anda dahulu sebelum disapu perlahan-lahan di kulit bayi.

● Jauhkan diri anda daripada bayi semasa menuang bedak untuk mencegah talkum disedut oleh bayi.

Jagaan tali pusat

● Celupkan kapas, kesat dengan surgical spirit dan bersihkan di sekeliling pangkal tali pusat. Spirit ini akan mengeringkan tali pusat dan biasanya ia akan tercabut dalam masa tujuh hingga 10 hari. Jika kawasan tersebut sentiasa kering, maka lebih cepatlah tali pusat akan gugur.

● Jangan menutup tali pusat dengan lampin kerana kawasan tali pusat perlu sentiasa kering dan bersih.

Lampinkan bayi

● Sapu losen, krim atau bedak pada punggung bayi supaya terhindar daripada basah dan ruam lampin.

● Gunakan lapik lampin untuk mencegah kebasahan kulit.

Kemaskan rambut

● Kemaskan rambut bayi dengan menggunakan berus rambut yang lembut dalam keadaan bayi berbalut dengan tuala agar dia tidak berasa kesejukan dan selesa.

KESELAMATAN SEBELUM, SEMASA DAN SELEPAS MANDI

Bagi bayi perempuan, cuci bahagian sulit daripada depan ke belakang. Manakala bagi bayi lelaki yang belum berkhatan, bersihkan zakar tanpa menarik kulupnya ke bawah.

Jangan sesekali biarkan bayi memegang kepala paip walaupun dia masih tidak mengerti bahayanya air mengalir ke atas keselamatan mereka.

Sekiranya perlu untuk mengambil sesuatu untuk digu- nakan semasa mandi, membuka pintu atau menjawab panggilan telefon, bawa bayi bersama anda.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Sakit tulang.. Simptom biasa atau petanda kanser?

Oleh : Pakar Bedah Ortopedik & Traumatologi serta Felo Ortopedik Onkologi di Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB),...

More Articles Like This