PELANTIKAN Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai Menteri Kanan Luar Negeri diharap dapat mengembalikan semula tumpuan semua pihak kepada isu lebih utama.
Pada masa sama, Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pelantikan kedua-dua pemimpin itu akan memberi nafas baharu kepada pentadbiran negara dalam usaha berjuang menentang COVID-19.
Kata beliau, isu utama iaitu kebajikan, kesejahteraan dan keselamatan rakyat selain pemulihan ekonomi negara perlu diberi tumpuan ketika negara masih bergelut dengan pandemik COVID-19.
Alexander turut menyifatkan pelantikan kedua-dua tokoh itu tepat pada masanya mengambil kira suasana politik negara yang panas ketika ini.
Sebagai pemimpin, beliau berkata, rakyat memerhatikan segala apa yang sedang berlaku dengan ramai tidak bersetuju dengan permainan politik yang boleh menggugat kestabilan negara.
“Justeru, saya berpendapat pelantikan kedua-dua pemimpin yang terkenal dengan ketokohan dan keupayaan masing-masing ini amat bersesuaian dengan tanggungjawab besar yang diletakkan pada bahu mereka,” katanya dalam kenyataan.
Baca artikel berkaitan: Ismail Sabri, Hishammuddin hargai kepercayaan PM atas lantikan jawatan baharu
Mengulas lanjut, Alexander berkata, kedua-dua pemimpin itu mempunyai kemampuan untuk menjalankan tugas dengan cemerlang.
“Saya pernah bekerja bersama Ismail Sabri ketika beliau menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah manakala saya sebagai timbalannya. Saya mengagumi kepemimpinan beliau.
“Hishammuddin juga mempunyai reputasi baik malah keupayaannya menguruskan krisis negara ketika berhadapan isu MH370 sehingga kini masih diperkatakan banyak pihak termasuk pemimpin luar negara.
“Mengambil kesempatan ini, saya turut ingin meminta bantuan Hishammuddin yang mengetuai Kluster Keselamatan untuk memberi perhatian kepada isu keselamatan di Sarawak,” jelas beliau.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan semalam mengumumkan pelantikan Ismail Sabri sebagai Timbalan Perdana Menteri dengan kekal memegang portfolio Menteri Pertahanan.
Selain itu, Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong dilantik sebagai Menteri Kanan Luar Negeri yang turut berperanan mengetuai Kluster Keselamatan.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

