bayi
JABATAN Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) berkongsi berita mengenai kematian seorang bayi akibat COVID-19 semalam. - Gambar FB JAWI

SEORANG bayi lelaki berusia 38 minggu dilaporkan meninggal dunia akibat COVID-19 semalam, manakala ibunya sedang mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital.

Jenazah bayi tersebut yang merupakan antara korban termuda akibat pandemik itu, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah KL-Karak, Taman Selaseh, Kuala Lumpur, malam tadi.

Kisah itu dikongsikan menerusi ciapan di Twitter dan hantaran di Facebook (Fb) rasmi Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini .

Sementara itu, bapa bayi tersebut difahamkan bersama lapan anak-anaknya yang lain sedang menjalani kuarantin di rumah.

“Ya Allah… sayu hati kami di keheningan malam tadi, kali pertama menerima jenazah Covid-19 termuda bayi lelaki berusia 38 minggu di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah KL-Karak, Taman Selaseh.

BERITA BERKAITAN 6,290 bayi 18 bulan ke bawah telah dijangkiti COVID-19

“Semoga dikurniakan ketabahan buat seluruh ahli keluarga.

“Insya-Allah, anak kecil ini menanti di syurga, memberikan syafaat buat kedua-dua orang tuanya di akhirat kelak,” kata kenyatan di media sosial Jawi tersebut.

Susulan perkongsian kisah itu, ramai pengguna Twitter dan Fb meninggalkan komen dengan rata-ratanya mendoakan keluarga bayi berkenaan diberi ketabahan atas ujian diberikan.

“Allahukahbar..salam takziah..sangat besar ujian keluarga ni..moga Allah mengurniakan kesembuhan buat ibu yang sedang bertarung nyawa serta bapa dan anak-anak yang kuarantin di rumah..Ya Allah Ya Rahman Ya Mujib perkenanknlah doa kami semua,” komen seorang pengguna FB, Suria Osman.🤲🏻

Normah Mahmood turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bayi berkenaan dengan ucapan: “Salam takziah buat keluarga arwah. Semoga keluarga ini dberikan kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan.”

Pada 4 Februari lepas, seorang bayi berusia empat bulan disahkan meninggal dunia di Hospital Tawau, Sabah yang menjadikannya korban termuda akibat COVID-19. – UtusanTV

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram