PKR hampir memuktamadkan senarai calon untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai dan Negeri Sembilan, 1 Ogos depan.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh memaklumkan, parti itu akan bertanding di 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dan 16 kerusi di Negeri Sembilan.
Bagaimanapun, kata beliau, pengumuman rasmi berhubung calon PKR yang akan bertanding dalam kedua-dua PRN itu akan dilakukan dalam tempoh beberapa hari lagi.
“Kita akan menampilkan gandingan seimbang antara muka lama dan baharu serta mengekalkan wakil wanita dan anak muda.
“Mengenai peratusan muka baharu, tunggu hari pengumuman nanti,” katanya.
Minggu lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian bagi PRN Johor ke-16 adalah pada hari Sabtu, 11 Julai depan.
Pada masa sama, PRN Negeri Sembilan pula akan dilaksanakan pada hari Sabtu, 1 Ogos.
Perkara itu dimaklumkan Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas bagi membincangkan perkara tersebut di Menara SPR.
Menurut Ramlan, hari penamaan calon bagi PRN Johor pula ditetapkan pada hari Sabtu, 27 Jun ini manakala hari mengundi awal pada 7 Julai.

