MEMBERI makan kepada seseorang bayi berumur enam bulan hingga usia bayi mencecah setahun memang mempunyai cabarannya, tetapi dalam masa yang sama amat menyeronokkan juga.
Sebagai ibu, anda perlu peka terhadap perubahan dan aspek pemakanan bagi bayi anda. Setiap peringkat umur anak anda mempunyai tahap penerimaan bahan pemakanan yang berlainan.
Tahukah anda, tekstur makanan yang berlainan akan menambah kepada kepelbagaian dalam menu bayi selain daripada jenis dan warna makanan yang diberikan.
Walaupun memperkenalkan bayi kepada tekstur makanan yang baru merupakan perkara yang baik, namun bayi selalunya memerlukan masa untuk biasa dengan rasa dan tekstur baru.

Setiap bayi mempunyai selera yang unik, tetapi transisinya lebih kurang begini:
Enam Bulan:
● Makanan dikisar halus sehingga menjadi puri.
● Cairkan makanan bayi dengan cecair seperti susu ibu/formula/air suam.
● Jika buah-buahan direbus, gunakan air rebusan tersebut untuk mencairkan makanan.
● Kisar makanan menggunakan pengisar.
● Penapis berjaring halus boleh digunakan untuk menapis makanan sambil melenyeknya dengan sudu.
Tujuh Bulan:
● Makanan bayi boleh dipekatkan dengan sedikit ketulan-ketulan kecil.
● Jika menggunakan penapis untuk menapis makanan, gunakan penapis yang kasar.

Lapan Bulan:
● Selain daripada memperkenalkan bayi dengan tekstur makanan yang baru, tekstur makanan lapan bulan juga dapat melegakan gusi bayi yang sedang tumbuh gigi.
● Makanan dilenyek dengan menggunakan gapfu, sudu atau alat untuk melenyek.
● Makanan juga perlu dimasak sehingga lembut.
● Makanan juga boleh dicincang halus.
● Daging dan ayam kisar boleh diberikan semasa umur ini.
● Makanan jejari boleh diperkenalkan.
Setahun Ke Atas:
● Bayi sudah boleh makan makanan yang orang dewasa makan seperti makan nasi berbanding bubur.
● Anda cuma perlu memotongnya kepada potongan kecil untuk mengelakkan bayi dari tercekik

