DCCK : SUMBANG MAHRAM, emak jangan ambil mudah

Dari Penulis

SEORANG pembaca menghubungi penulis mengingatkan masalah dalam rumah tangga bukan sahaja masalah suami isteri, tetapi termasuk masalah ahli dalam keluarga itu sendiri. Kurang faham dengan tujuan perbicaraannya, saya terus bertanya dan bertanya. Nasihatnya sebagai isteri kita bukan sahaja mengutamakan makan minum keluarga, tetapi juga mesti memikirkan permasalahan tersembunyi dalam keluarga itu sendiri yang jarang kita ambil tahu. 

Bosan melayan pertanyaan saya beberapa kali, beliau terus menjelaskan, biasanya kaum wanita sering terlupa tentang perangai ahli keluarga. Bukan sahaja suami yang mesti dijaga dan diperhatikan, perangai anak-anak juga mesti diawasi.

“Saya perhatikan DCCK kurang beri perhatian terhadap kejadian sumbang mahram, tetapi sedarkah puan, masalah ini sering berlaku dalam keluarga kita. Malangnya ada ibu-ibu tidak ambil berat dan sering menyembunyikannya kerana ia memalukan keluarga.’’ Itu cerita Dillah mahu penulis mengambil serius masalah sumbang mahram ini. 

Sebenarnya cerita seperti ini sudah beberapa kali penulis paparkan sejak beberapa tahun lalu selain cerita gay. Malah satu kes ayah rogol anak pernah saya paparkan dan kemudian saya bukukan dalam `Warna-Warna Kehidupan’. Mungkin Dillah terlepas pandang, atau mungkin ketika itu Dillah belum kenal DCCK lagi. 

Bagaimanapun, marilah kita ikuti cerita Dillah, supaya telinganya yang sudah lama berasap dan hatinya yang sudah lama tercalar dapat diredakan. Dillah tidak mahu masalah anak luar nikah akibat sumbang mahram antara adik beradik atau dilakukan oleh ayah kandung sendiri, berterusan. 

Untuk tidak membuang masa, Dillah terus bercerita. 

“Kira-kira tiga atau empat tahun lalu saya jumpa Edah di sebuah pasar raya. Kebetulan suami bawa kami anak beranak bercuti di Pantai Timur, kami tinggal di sebuah homestay untuk tiga hari. Kalau duduk homestay tentulah urusan makan minum tugas saya. Nak jimatkan belanja kerana anak-anak sedang membesar tak terdayalah kami kalau makan empat hari sekali di kedai sahaja. Jadi saya kenalah masak. Paling tidak sarapan pagi dan minum petang. 

“Edah saya temui di sebuah gerai menjual makanan berdepan pasar raya itu. Mulanya memang saya tak kenal. Maklum dulu kita masih remaja, tudung entah ke mana. Tapi Edah pandang saya dan tersenyum pada saya dulu. 

“Senyumannya tetap sama, kami berpelukan, maklum dekat 20 tahun tak jumpa. Dulu kami janji kita sama-sama ambil STPM kemudian masuk U. Setuju sangat, Edah memang pandai. Tak ada masalah nak masuk U. Tetapi ketika daftar belajar tingkatan 6, saya seorang. Edah entah ke mana. Zaman itu bukan ada telefon bimbit. Saya tercari-cari Edah. 

“Puas mencari hinggalah terjumpa adik Edah kebetulan kawan baik kepada adik kawan saya. Katanya Edah dah lari. Apa hal? Sedangkan kami sudah berjanji nak masuk U bersama. 

Kami sudah berjanji untuk ambil STPM dan kemudian ke universiti bersama-sama, tapi sewaktu pendaftaran ke tingkatan enam, Edah tidak kelihatan. Di mana Edah?

“Ketiadaan Edah melemahkan semangat saya belajar. Setahun kemudian saya berhenti, kebetulan dapat tawaran kerja. Di situlah tamatnya cita-cita dua sahabat baik nak masuk U. Masa berlalu terlalu pantas, saya berkahwin dan dapat tiga orang anak, sekarang mereka sudah besar. 

“Dalam pertemuan itu kami sama-sama menangis. Saya ajak Edah datang ke tempat saya menginap. Tapi dia lebih suka bercerita di gerainya bila dia habis berniaga petang nanti. Katanya dia berniaga sarapan dan makan tengah hari sahaja. Tak sampai malam, tidak ada siapa nak bantu. Dia ada empat orang anak, tapi kini dia jadi ibu tinggal sejak lima tahun lalu, ditinggalkan suami tanpa cerai, hilang entah ke mana. 

“Kata Edah, dia tak teringin cari suami apa lagi nak buat tuntutan cerai di mahkamah. Buang masa je turun naik mahkamah, siapa nak bagi anak-anaknya makan dan belanja sekolah. Dia pun tak suka kalau suaminya balik. Bukan bawa faedah, malah menghabiskan duit dia berniaga, sebab suaminya malas bekerja dan sentiasa minta duit nak jumpa kawan. Punca dia tinggalkan Edah selepas bergaduh sebab Edah tak mahu bagi duit. 

“Itu cerita kehidupan Edah yang amat menyayat hati saya. Sungguh tak sangka, budak pandai belajar yang menjadi kebanggaan ramai guru, tetapi berakhir dengan berniaga tepi jalan nak cari makan. Kalau cikgu jumpa mesti terkejut beruk. 

“Saya beritahu Edah, saya pun tak masuk U sebab Edah tak ada. Edah terus menangis. Akhirnya Edah buka rahsia, bukan dia tak mahu belajar, tapi hidupnya hancur bila dia dirogol oleh abangnya sendiri. Terkejut beruk saya. 

“Katanya, semuanya berlaku tanpa dia sedar. Abangnya meletakkan pil dalam minumannya. Bukan sekali, entah berapa kali. Semua berlaku tanpa dia sedar. Kita orang susah, bila abang bagi minuman berjenama sedap dan mahal tentu kita minum. 

Edah tidak menyangka abang sendiri tergamak merosakkan kehormatannya.

“Kata Edah, bila tersedar dirinya tidur, dia merasakan tubuh badan dan bahagian sulitnya amat sakit. Dan tiga bulan kemudian dia hamil. Edah beritahu emak, ayah terdengar, Edah dituduh keluar malam cari jantan.

“Emak cuba membela tapi gagal. Kerana malu, ayah halau Edah keluar rumah. Edah nak tumpang rumah saudara mara malu. Akhirnya tumpang rumah kawan abangnya. Edah masih tak tahu macam mana dia boleh hamil dan perancangan abangnya. 

“Selepas melahirkan, Edah kahwin dengan pemandu lori ketika dia bekerja di gerai makan, dan anakya diberikan kepada orang yang mahu jadikan anak angkat. Abang jadi wali, mereka nikah di pejabat kadi. Waktu itu semua senang, ada wali semua jadi. 

“Hidup Edah memang susah sebab itu berniaga cari duit sendiri. Tetapi bila dapat duit, suami pulak kutip buat berjudi. Malangnya nasib. Bila bergaduh pasal duit, suaminya selalu tuduh dia buat jahat sampai keluar anak haram. Sakitnya hati, malunya tak boleh nak carita. Sedih bila kita dihina tak kira depan anak apa lagi depan jiran. Dulu kerana malulah saya tutup mulutnya dengan bagi duit. Tetapi sampai bila saya nak hambakan diri macam ini. 

“Entah macam mana, satu hari saya tak ada duit, berniaga bukan selalu untung, ada ketikanya rugi. Bila tak ada duit, dia mengamuk lagi. Saya kata tak ada duit, dia tak percaya. Kerana terlalu marah, mungkin kalah judi agaknya, dia terus mengamuk dan menghina saya. Macam biasa, perkataan anak haram jadi kata kuncinya. Akhirnya terhambur keluar daripada mulutnya saya dituduh buat anak haram dengan abang sendiri. Pecah rahsia. 

“Kerana terlalu marah dan malu, kata Edah, dia bersemuka dengan abangnya. Mereka bergaduh besar. Sejak itu Edah tak pernah jumpa abangnya lagi. Patutlah abangnya bersusah payah mencarikan jodoh untuknya, mencarikan tempat untuk dia menumpang bila ayah halau dia keluar rumah. Tapi Edah tak sangka abangnya sanggup menghancurkan hidupnya. 

“Kata Edah, dirinya benar-benar terbuang, bukan sahaja ayah halau dia, sekarang suami pulak tinggalkan dia. Tetapi itu semua tidak merunsingkan fikirannya, azam Edah dia akan terus berniaga demi masa depan anak-anak. Cukuplah dirinya seorang sahaja jadi mangsa dan dia tak mahu nasib anak anaknya tercampak di dunia yang penuh cabaran ini. 

Sudahlah masa depan Edah dimusnahkan oleh keluarga sendiri, tragedi itu digunakan pula oleh suami untuk memeras wangnya.

“Edah berhasrat mencari anak yang diberikan kepada orang itu, tetapi keluarga itu telah berpindah. Edah sedih kerana masa depannya hancur akibat perbuatan abang sendiri. Kami sama-sama menangis. Saya berjanji akan menolong Edah demi masa depan anak-anaknya, setakat yang saya mampu . 

“Sebenarnya ketika mendengar cerita Edah, jauh di suduh hati, saya insaf beginilah nasib saya jika saya tak jaga diri dulu. Bahawasanya dulu saya juga pernah cuba digoda oleh bapa saudara saya sendiri. Kebetulan saya balik kampung sendirian sebab jarak rumah saya dengan kampung tak jauh, kalau naik bas tambang cuma 15 sen sahaja.

“Jadi sebulan sekali atau dua bulan sekali emak suruh saya balik kampung hantar barang-barang makanan untuk nenek. Emak boleh suruh abang, tetapi pemalas, dia lebih sayang padang bola daripada dengar cakap emak 

“Nak jadikan cerita, malam tu nenek tak bagi saya balik, sebab hujan lebat sejak petang. Nenek kata balik esok. Malam itu saya tidur di bilik mak su sebab sejak mak su kahwin dan pindah ke bandar, bilik itu tinggal kosong. 

“Bukan saya seorang pernah tidur di situ, ramai sepupu lain pernah tidur sama, tapi malam tu saya sendirian. Hujan memang lebat. Tengah malam tak sedar jam berapa, saya berasa tubuh saya ditindih, mulut ditutup, saya meronta sekuat hati cuba melepaskan diri. Mulanya saya fikir ketindihan (ditindih hantu) tapi mengapa mulut saya ditutup. 

“Saya berhempas pula cuba menjerit, tetapi mulut ditutup, sementara tangan kanan saya ditekan kuat. Tetapi dengan tangan kiri saya berjaya mencakar muka orang itu. Kena matanya, dan saya terlepas. Saya terus meluru ke pintu, tetapi pintu ditutup. Saya diterkam, kami bergumpal. Sah, ini bukan hantu dan saya direbahkan sekali lagi ke katil. 

“Dengan kekuatan yang ada, saya menjerit, tetapi hujan lebat membenam jeritan saya. Saya tak mengaku kalah, terus berjuang, akhirnya saya berjaya menolaknya ke dinding dan dia jatuh. Sepantas kilat saya memetik suis lampu. Pak cik tersandar malu dan mengaku kalah. Dia bingkas bangun beredar keluar. 

Saya terjaga daripada tidur kerana tiba-tiba terasa badan ditindih, mulut ditekup dan tangan kanan ditekan dengan kuat.

“Saya kunci pintu bilik, dan itulah yang saya buat semasa masuk tidur, tapi macam mana pintu bilik ini boleh terbuka. Sampai pagi saya tak tidur, termenung dan ketakutan. Nenek bangun solat Subuh. Saya ingin mengadu tapi ketakutan masih ada dalam diri  hinggalah selepas minum kopi pagi dan pak cik keluar rumah, baru saya berani bercerita pada nenek. 

“Tetapi alangkah kecewanya bila nenek dengar cerita saya macam endah tak endah. Akhirnya nenek kata, mungkin pak cik nak gurau-gurau saja dengan saya. Terkejut saya. Nak gurau-gurau? Nenek tak percaya. Kerana terlalu marah, ketika itu juga saya capai beg duit terus balik rumah. Saya cukup marah kerana nenek tak percayakan saya. 

“Saya jadi lebih terkejut bila cerita yang sama saya beritahu emak, emak juga mempunyai sikap yang sama. Emak macam tak percaya, sebaliknya mendakwa pak cik memang sayangkan budak-budak. Hah! Sayang bebudak? Umur saya ketika itu sudah 16 tahun. Saya tak nafikan jika saya tak melawan pak cik malam itu, mungkin nasib saya juga jadi macam Edah. 

“Sejak peristiwa itu saya tak pernah menjejakkan kaki ke rumah nenek kalau emak tak ikut sama. Saya sakit hati pada nenek dan emak kerana tak percaya pengakuan saya. Ini membuat rasa benci saya kepada mereka berdua sentiasa tersemat di dada. Sejak itu saya jadi pendiam dan tak suka berbual dengan emak seperti dulu. Saya lebih suka bersendirian, cuma menjawab kalau emak bertanya, dah tak ada mood nak berbual mesra macam dulu. Saya rasa sakit hati. 

“Bersandarkan kepada pengalaman pahit saya dan kesengsaraan yang dilalui oleh Edah, melalui ruangan DCCK ini saya mengharap dan merayu para ibu dengar apa juga cerita anak-anak anda, tapis betul-betul, jangan keluar perkataan tak percaya dari mulut anda. Dan kalau kita lihat perubahan diri anak kita suka mendiamkan diri, tanya baik-baik, mungkin ada yang mereka hendak ceritakan, tetapi tak ada keberanian. Ini peranan ibu mendekati anak-anak, terutama zaman sekarang yang lebih mencabar. 

Para ibu perlu dengar apa yang hendak diperkatakan oleh anak-anak perempuan anda. Ingat, zaman sekarang perogol ada di dalam rumah.

“Zaman sekarang bukan semua perogol ada di luar rumah, sebaliknya ada dalam rumah sendiri. Kalau tidak bapa saudara, mungkin abang, mungkin juga ayah sendiri. Sebab itu ibu-ibu bukan sahaja membimbing anak-anak, tetapi berhubung rapat dengan mereka supaya mereka tidak takut  menceritakan sesuatu yang buruk telah berlaku ke atas mereka, seperti yang terjadi pada Edah. 

“Sementara ibu-ibu jangan cuba menyorokkan perbuatan buruk dalam keluarga semata-mata kerana malu, menjaga nama baik keluarga, ataupun takut dengan amaran suami yang mengugut hendak menceraikan jika tembelangnya pecah. Jangan takut, jangan gadaikan nasib anak kita semata mata kerana suami yang bersifat binatang. 

“Macam kes Edah, emaknya terlalu takutkan suami, tak berani bersuara, hingga dia sanggup biarkan anak gadisnya dihalau keluar rumah. Sungguh kejam.’’ Demikian cerita Dilla dan nasihatnya kepada ibu-ibu yang ada anak gadis, serta perangai suami yang diragui. Jadikan apa yang berlaku ke atas mereka sebagai peringatan. 

Oleh : MAIMUNAH YUSOF

—————————————

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Integrasi NeuroStream™ Pemangkin Bandar Pintar, Neurovia AI Lantik Rashed Aleghfeli Peneraju Operasi Timur Tengah

SYARIKAT gergasi penyedia teknologi automasi maklumat global, Robo.ai Inc. (NASDAQ: AIIO), secara rasminya mengumumkan pelantikan tokoh korporat terkemuka Emiriah...

More Articles Like This