LORD Overtoun atau nama sebenarnya John Campbell White merupakan seorang bangsawan Scotland. Selepas ayahnya meninggal dunia pada tahun 1884, Lord Overtoun mewarisi estet ayahnya di bahagian barat Dunbartonshire, Scotland. Dia turut berpindah ke rumah agam yang dibina ayahnya di situ.

Kemudian, dia membeli pula kawasan estet Gharshake yang terletak di bahagian barat hartanahnya.  Timbul masalah daripada segi pengangkutan untuk membawa barang dari kawasan estet baru itu ke rumah agam Overtoun. Jalannya tidak elok dan agak curam, menyukarkan kenderaan untuk mengangkut keluar hasil ladang.

Lord Overtoun mengarahkan seorang jurutera bernama H.E Milner untuk membina sebuah jambatan bagi memudahkan laluan ke rumahnya. Pada Jun 1895, jambatan yang jadi penghubung ke rumah agam Overtoun siap dibina. Ia dikenali sebagai ‘Overtoun Bridge’ (jambatan Overtoun), berdekatan daerah Dumbarton.

Jambatan ini dibina menuju ke rumah agam Lord Overtoun.

Walaupun sekadar jambatan, namun pembinaannya unik dengan menggabungkan ciri-ciri struktur binaan zaman Victoria.

Namun, jambatan ini mula dikenali sebagai tempat yang berbahaya untuk anjing. Dikatakan sejak dahulu, sudah beratus-ratus ekor anjing mati di sini. Lebih aneh, anjing-anjing itu bertindak melompat dari jambatan, seolah-olah membunuh diri.

Kajian yang dibuat mendapati, fenomena anjing membunuh diri di jambatan ini bermula sekitar tahun 1950-an. Apabila si pemilik membawa anjing peliharaan mereka berjalan di atas jambatan ini, tiba-tiba anjing tersebut akan lari sebelum terjun dari atas jambatan setinggi 50 kaki ini.

Berlaku fenomena aneh bila banyak anjing terjun dari jambatan ini seolah-olah membunuh diri.

Dikatakan sudah lebih 600 ekor anjing telah melompat dari jambatan itu. Banyak yang mati, ada juga yang cedera selepas terjun dari situ. Lebih aneh, anjing yang cedera itu akan melompat sekali lagi apabila lalu di jambatan tersebut.

Apa yang ganjil, semua anjing-anjing  itu akan melompat dari sudut dan tempat yang sama, iaitu di bahagian akhir tembok pada sebelah kanan jambatan.

Apa puncanya?

Sejak fenomena aneh ini berlaku, setiap tahun dilaporkan ada saja anjing yang terjun dari jambatan Overtoun. Selalunya ia berlaku ketika musim di mana keadaan cuaca agak mendung dan lembap.

Ramai pengkaji membuat analisis tentang fenomena ganjil ini. Antara kesimpulannya, anjing-anjing tersebut bertindak begitu kerana tertarik dengan bau cerpelai dan haiwan kecil itu memang banyak di kawasan bawah jambatan tersebut. Kajian mendapati, anjing mudah tertarik dengan bau cerpelai.

Dikatakan anjing tertarik dengan bau cerpelai di kawasan jambatan ini.

Namun, teori itu tidak kuat kerana banyak tempat lain yang turut dihuni cerpelai, namun tidak pula berlaku situasi sehingga anjing sanggup membunuh diri seperti yang terjadi di jambatan ini.

Ada juga teori yang menyebut perasaan ingin tahu anjing yang mendorong ia terjun. Ini kerana dinding jambatan Overtoun menghalang pandangan anjing hingga membuat haiwan itu bertindak melompat untuk meninjau keadaan di sebaliknya. Pun begitu, persoalannya mengapa hanya di jambatan Overtoun sahaja?

Tidak kurang juga berlegar kisah tentang kawasan jambatan itu yang didakwa kononnya diselubungi kuasa jahat. Dalam mitologi bangsa Celtic, jambatan ini disebut sebagai tempat ghaib di mana syurga dan bumi bertemu. Kerana itu tidak hairanlah banyak kejadian aneh berlaku di sini.

Tanda peringatan yang dipasang di tepi jambatan.

Ada pula versi yang mengatakan anjing-anjing ini terpanggil untuk  membunuh diri setelah terdengar suara-suara halus di jambatan itu.

Teori ini turut dikaitkan dengan kejadian pada Oktober 1994, seorang bapa bernama Kevin Moy telah mencampakkan bayi lelakinya yang baru berusia dua minggu dari atas jambatan ini. Bayi itu mati.

Kevin turut bertindak mahu terjun dari jambatan itu namun sempat dihalang oleh isterinya. Menurut Kevin, dia mencampakkan bayinya kerana percaya bayinya itu adalah jelmaan iblis. Kevin dimasukkan ke hospital mental kerana didapati menghidap masalah mental.

Seorang guru falsafah, Paul Owens telah menulis sebuah buku tentang jambatan Overtoun. Paul membesar di kawasan tidak jauh dari jambatan itu.

Dalam tulisannya, Paul mendakwa, segala misteri yang melanda jambatan itu disebabkan hantu Lady Overtoun, iaitu balu kepada Baron Overtoun.

Selepas suaminya meninggal pada tahun 1908, Lady Overtoun dikatakan menghadapi kemurungan dan kesepian. Dikatakan dia selalu merenung ke arah jambatan dari tingkap rumah agamnya, bahkan sering juga berjalan di jambatan itu dalam keadaan murung selama beberapa tahun sebelum meninggal dunia.  

Bayangan seakan seorang wanita dari rumah agam Overtoun yang dikatakan adalah jelmaan Lady Overtoun.

Kisah-kisah pengunjung yang dikatakan sering melihat bayangan seorang wanita di kawasan itu turut diceritakan. Ada juga foto yang dirakam memaparkan seakan bayangan wanita pada tingkap rumah agam berdepan dengan jambatan tersebut. Kononnya, itulah bayangan Lady Overtoun yang juga digelar White Lady.  

Yang pasti, persoalan mengenai fenomena anjing yang melompat dari jambatan itu tetap tidak terurai sehingga kini.  

Mengapa anjing melompat terjun dari jambatan ini masih menjadi tanda tanya.

____________

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislamFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare