Anak kedua Anis yang baru berusia tujuh bulan, dihantar ke hospital kerana demam, selesama dan batuk selama seminggu. Risau memikirkan keadaan si comelnya, Natasha yang tidak bermaya, sukar untuk tidur, mahupun minum susu. Daripada seorang bayi yang aktif, Natasha sering merengek dan kelihatan tidak selesa dengan kesihatannya.

Setelah ujian darah dilakukan, doktor mendapati Natasha menghidap meningitis – jangkitan pada selaput otak atau saraf tunjang. Bagi mendapatkan rawatan lanjut, Natasha dimasukkan ke hospital dan rawatan segera diperlukan.

Jika lambat dirawat, dia mungkin akan kehilangan deria pendengaran, lumpuh anggota badan, terencat otak, malah mungkin akan menemui ajal.

BAKTERIA PNEUMOKOKUS

Menurut Pakar Perunding Pediatrik & Neonatologi, Dr. Musa Mohd. Nordin, meningitis berpunca daripada kuman pneumokokus. Ia juga dikenali sebagai bakteria Streptococcus pneumoniae.

Bakteria inilah yang menyebabkan terjadinya penyakit pneumokokal (PnD), salah satu penyakit yang mudah berjangkit dan merebak dengan cepat di kalangan kanak-kanak. Memandangkan kanak-kanak kekurangan antibodi spesifik untuk melawan bakteria ini, ia merebak dengan lebih cepat.

Apatah lagi, jika anak-anak ini berada di dalam kumpulan yang ramai, misalnya di taman asuhan. Biasanya, bakteria pneumokokus boleh ditemui di nasofarinks kanak-kanak atau orang dewasa.

Salah satu saluran jangkitan (di kalangan kanak-kanak) ialah melalui cecair yang dilepaskan ke udara apabila mereka bersin mahupun batuk. Antara penyakit lain yang berpunca daripada bakteria pneumokokus ialah pneumonia, bakteremia (kuman di dalam darah) dan jangkitan telinga tengah.

GOLONGAN YANG BERISIKO

❐ Kanak-kanak atau bayi yang berada di pusat jagaan harian atau taska. Hampir 60 peratus daripada kanak-kanak prasekolah adalah pembawa pneumokokus.

❐ Kanak-kanak yang berusia di bawah lima tahun.

❐ Mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah. Kanak-kanak di bawah usia 24 bulan mempunyai risiko tinggi menghidap PnD disebabkan oleh antibodi pneumokokus yang rendah.

❐ Mereka yang mempunyai sejarah jangkitan telinga.

IBU BAPA DI MALAYSIA KURANG SEDAR TENTANG PnD

Fakta yang boleh dikongsi dengan ibu bapa mengenai PnD adalah daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), melaporkan bahawa penyakit pneumokokal merupakan salah satu penyakit yang mudah berjangkit dan penyebab kematian di kalangan kanak-kanak.

Justeru, dengan adanya pemvaksinan, ia adalah satu-satunya langkah pencegahan yang boleh merawat dan mencegah PnD. Bagaimanapun dalam diam, penyakit ini telah meragut hampir satu juta nyawa kanak-kanak di bawah usia lima tahun.

Di kawasan Asia Pasifik, dianggarkan 98 orang kanak-kanak meninggal dunia setiap satu jam disebabkan oleh pneumonia dan kira-kira 49 kes baru berlaku berpunca daripada PnD.

Di Malaysia, kesedaran di kalangan ibu bapa mengenai penyakit ini masih lagi rendah. Hasil daripada kajian yang dijalankan oleh Kajian Global Kesedaran Penyakit Pneumokokal 2006 mendapati, hanya 31 peratus ibu bapa di Malaysia yang sedar dan tahu mengenai PnD.

Kebanyakan mereka mendapat informasi ini daripada pegawai perubatan dan juga media massa. Manakala 38 peratus ibu bapa di negara ini, sedia maklum mengenai adanya pemvaksinan penyakit pneumokokal.

Di Malaysia, seramai 500,000 kanak-kanak berisiko menghidap penyakit tersebut. Kebanyakan penghidap kronik akan meninggal dunia. Manakala, 25 peratus yang terselamat lazimnya mengalami kerosakan otak.

Seterusnya membawa kepada cerebral palsy dan kecacatan mental. Mereka juga berhadapan dengan masalah pendengaran seperti pekak dan pembelajaran, sekali gus boleh menjejaskan kualiti hidup.

PEMVAKSINAN PNEUMOKOKAL

Penyakit ini boleh dirawat jika ia dapat dikesan dari awal dan segera mendapatkan rawatan lanjut di hospital. Ini kerana tanda-tanda penyakit ini agak sukar untuk dikesan di kalangan anak-anak kecil.

Salah satu rawatan yang diberikan ialah antibiotik. Bagaimanapun, jika ia teruk dan tahap kekebalan bakteria ini semakin tinggi, antibiotik mungkin tidak akan berfungsi.

Oleh itu, vaksin pneumokokus yang diperkenalkan pada tahun 2005 di Malaysia, mampu merawat dan mencegah PnD.

Vaksin ini dihasilkan daripada lapisan luar bakteria yang dikaitkan dengan sejenis protein. Ia berupaya merangsang bayi untuk mengeluarkan antibodi. Keupayaan ini membantunya membuat sel khas untuk melawan bakteria apabila terdedah kepada PnD.

Langkah pencegahan terbaik untuk PnD adalah melalui imunisasi.

Oleh itu, suntikan untuk pemvaksinan PnD hanya terdapat di klinik dan juga hospital swasta pada anggaran harga bagi satu dos lebih kurang RM270 hingga RM300. Setiap kanak-kanak pula disyorkan mengambil di antara satu hingga empat dos, bergantung pada usia mereka.

Bagi kanak-kanak yang berusia kurang setahun, tiga hingga empat dos vaksin diberikan. Manakala dua dos diperlukan bagi kanak-kanak yang berusia sehingga dua tahun dan satu dos untuk kanak-kanak berusia dua tahun ke atas.

Pemvaksinan pneumokokal seperti imunisasi berkelompok, sekiranya seorang kanak-kanak atau bayi yang mendapat vaksin ini, ia turut melindungi orang lain.

PANDUAN UNTUK IBU BAPA

❐ Amalkan kebersihan di rumah dan pusat asuhan.

❐ Bersihkan tangan.

❐ Buang tisu yang telah digunakan.

❐ Elakkan berkongsi cawan dan sudu.

❐ Pastikan alat permainan bersih.

❐ Tidak digalakkan menghantar anak ke pusat asuhan jika anak demam atau batuk.

❐ Ibu bapa disarankan merujuk pada doktor untuk mendapatkan jadual pemvaksinan dan khidmat nasihat yang mengenai PnD