Usaha lulus undi percaya, kerajaan berunding dengan parti-parti pembangkang – Muhyiddin

Dari Penulis

KERAJAAN akan berunding dengan pimpinan parti-parti pembangkang bagi meluluskan usul undi percaya kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat, di samping mengemukakan Rangka Persefahaman Rentas Parti untuk mewujudkan kerajaan kerjasama bipartisan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan yang akan wujud selepas usul undi percaya itu diluluskan adalah sebuah kerajaan yang lebih stabil dan inklusif.

“Keadaan itu akan membolehkan kerajaan yang ada pada hari ini terus berfungsi mengurus pandemik hingga tiba suatu masa yang sesuai untuk diadakan pilihan raya bagi mengembalikan semula mandat kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan khas yang disiarkan secara langsung di televisyen tempatan hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, usul undi percaya itu hanya boleh diluluskan dengan sokongan bipartisan di Dewan Rakyat dan kerajaan yang akan wujud selepas itu adalah sebuah kerajaan yang lebih stabil dan inklusif.

Sehubungan itu, Muhyiddin membentangkan cadangan tujuh rangka persefahaman rentas parti yang akan dilaksanakan oleh kerajaan kerjasama bipartisan tersebut sekiranya usul undi percaya diluluskan.

“Atas semangat kerjasama bi-partisan di Parlimen dan keperluan untuk memperluaskan bentuk-bentuk bantuan kepada rakyat dalam situasi pandemik, semua Ahli Parlimen akan menerima peruntukan tahunan yang sama tanpa mengira parti politik,” katanya.

Selain itu, antara cadangan dikemukakan adalah mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal sahaja jika mempunyai sokongan bipatisan melebihi dua pertiga dan membentangkan Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti di Parlimen.

BERITA BERKAITAN Muhyiddin tegaskan masih dapat sokongan majoriti di Parlimen

“Kerajaan juga akan memperkukuhkan reformasi parlimen dengan memastikan jumlah Ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang yang menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen adalah lebih seimbang.

“Sebagai pengiktirafan kepada peranan semak dan imbang di Parlimen, 50 peratus Jawatankuasa Pilihan Khas akan dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Kerajaan dan 50 peratus lagi oleh Ahli Parlimen pembangkang,” katanya

Selain itu, Muhyiddin berkata, sebagai pengiktirafan kepada peranan parti pembangkang yang mempunyai jumlah perwakilan yang hampir seimbang di Dewan Rakyat, Ketua Pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang Menteri Kanan.

“Maka, saya dengan penuh takzimnya menjemput semua pimpinan parti politik untuk membincangkan cadangan-cadangan ini pada minggu hadapan,” katanya.

Muhyiddin menjelaskan kestabilan politik adalah amat penting dalam usaha memerangi pandemik COVID-19 dan seterusnya memulihkan negara.

“Kita harus akur dan sedar, proses pemulihan negara bukan satu usaha mudah. Kita memerlukan sokongan, usaha dan tumpuan semua pihak untuk memulih dan mengembalikan negara yang kita cintai ke landasan pembangunan serta pertumbuhan yang sihat,” katanya.

Perdana Menteri berkata kegagalan menstabilkan politik negara untuk membantu proses pemulihan akan mengakibatkan rakyat menanggung sengsara dan beban.

“Yang rugi adalah rakyat dan tanah air kita ini,”  katanya.

Beliau berkata apabila negara telah pulih daripada wabak COVID-19, orang ramai boleh kembali menjalani kehidupan biasa, selain bersama-sama membawa semula Malaysia ke mercu kejayaan dan kegemilangan.

– UtusanTV


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Pelajar maut di sekolah: Tiada kaitan buli setakat ini – KP Pendidikan

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) setakat ini tidak menemukan sebarang petunjuk yang mengaitkan kematian seorang pelajar perempuan tingkatan empat di sebuah...

More Articles Like This