JAGUH muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar gagal untuk menumbangkan jaguh dari Colombia, Johan Estupinan apabila kalah dengan dalam perlawanan tiga pusingan dalam pertarungan ONE 170 di Impact Arena di Bangkok, Thailand, malam ini.
Kekalahan Johan, 19, yang mesra disapa Jojo itu menyaksikan dia gagal meneruskan misi memadamkan rekod cemerlang lawannya yang tidak pernah tewas dalam pertarungan ONE Championship sebelum ini.
Johan turun dengan misi memburu kemenangan ketujuh daripada lapan penampilan dalam kejohanan ONE Championship sebelum ini bermula agak garang pada pusingan pertama dengan berjaya menjatuhkan Estupinan dengan tumbukan padu dan tendangan kencangnya.
Bagaimanapun, ia tidak menggugatkan Estupinan, 23, memegang rekod sempurna 25-0, turut mencipta nama sebagai bintang muda berbisa dengan empat kemenangan berturut-turut di pentas ONE Championship, termasuk tiga kemenangan KO.
Jaguh dari Colombia yang diberi julukan “Panda Kick” itu meneruskan serangan-serangan berbahayanya menggunakan kaki dalam pusingan kedua dan ketiga yang menyebabkan Jojo sukar melakukan serangan, sebaliknya mengalami perdarahan di bahagian muka.
Dalam pertarungan terakhirnya di ONE Championship, Jojo sebelum ini berjaya kemenangan knockout (KO) ke atas jaguh Mexico, Josue Cruz pada ONE 168: Denver di Ball Arena, Denver, Colorado, Amerika Syarikat, September tahun lalu. – Utusan TV

