Benarkah Puasa Hari Asyura perlu diiringi dengan Puasa Tasu’a (9 muharam)? Ini jawapannya…

Dari Penulis

Bulan Muharam memiliki keutamaannya yang tersendiri. Baginda s.a.w. menyatakan, Muharam adalah bulan Allah dan puasa yang paling dituntut selain puasa Ramadan ialah puasa di bulan Muharam.

Di dalam bulan ini terdapat satu hari yang dianggap mulia bagi orang Yahudi mahupun Islam iaitu hari ke sepuluh Muharam atau dipanggil hari Asyura. Pada hari itu kita sangat digalakkan untuk berpuasa kerana ia dihukumkan sebagai sunat muakkad, iaitu sunat yang dituntut untuk dikerjakan. Namun begitu ia perlulah dimulai dengan berpuasa pada sembilan Muharam.

Terdapat banyak hadis-hadis yang membicarakan tentang amalan berpuasa di bulan Muharam, antaranya hadis daripada Abu Hurairah r.a. yang menyatakan, Baginda s.a.w. telah bersabda,

“Sebaik-baik puasa selepas Ramadan ialah bulan Muharam dan sebaik-baik solat selepas solat fardu ialah solat pada waktu malam.” HR Muslim

Selain dari hadis tersebut, Ibnu Abbas r.a. ada menceritakan tentang puasa hari Asyura, katanya,

“Aku tidak melihat Nabi s.a.w. mencari-cari puasa pada suatu hari, (Baginda) mengutamakannya dari hari-hari yang selainnya kecuali hari ini iaitu hari Asyura dan bulan ini iaitu bulan Ramadan.” HR Bukhari

Menurut Ibnu Abbas lagi, “Rasulullah telah berpuasa pada hari Asyura dan memerintahkan mereka berpuasa padanya.” HR Bukhari & Muslim

Terdapat sebuah lagi hadis daripada Ibnu Abbas yang menceritakan tentang kemuliaan hari Asyura yang bermaksud,

“Baginda s.a.w. ketika sampai di Madinah lalu melihat kaum Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Kemudian Baginda bertanya, “Apa ini?”. Mereka menjawab, “Ini adalah hari baik, ini adalah hari di mana Allah menyelamatkan Bani Israel daripada musuh-musuh mereka lalu (pada hari ini) nabi Musa berpuasa.” Baginda s.a.w. bersabda “Aku lebih berhak untuk menghormati Musa daripada kamu.” Maka Nabi s.a.w. berpuasa pada hari Asyura dan menyuruh para sahabat untuk berpuasa pada hari tersebut” HR Bukhari

Puasa pada 10 Muharam atau hari Asyura adalah puasa yang sangat digalakkan selepas puasa Ramadan

Dalam hadis lain yang diriwayatkan daripada Humaid b. Abdul Rahman, bahawa dia telah mendengar daripada Muawiyah b. Abi Sufyan berkata di atas mimbar pada hari Asyura maksudnya,

“Wahai penduduk Madinah, di manakah para ulama kamu? Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, “Ini adalah hari Asyura dan tidak diwajibkan atas kamu berpuasa. Maka barang siapa yang menghendaki puasa maka berpuasalah dan barang siapa yang menghendaki untuk tidak berpuasa maka berbukalah.” HR Bukhari

Puasa Menghapus Dosa Setahun

Baginda s.a.w. menggalakkan umat Islam supaya berpuasa hari Asyura. Sudah barang tentu, dengan galakan daripada Baginda sendiri, peluang seumpama ini tidak dilepaskan oleh umat Islam. Apalagi jika mengetahui fadilat yang diberikan kepada mereka yang melakukan puasa hari Asyura.

Namun demikian, puasa yang dilakukan itu mestilah diiringi dengan puasa sembilan Muharam bersandarkan dalil yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.a. daripada Baginda s.a.w.

“Kalaulah aku masih hidup hingga tahun hadapan, nescaya aku akan berpuasa pada hari yang kesembilan.” HR Muslim

Bagaimanapun kudrat Allah S.W.T. mengatasi segalanya, Baginda s.a.w. telah wafat sebelum sempat melaksanakannya pada tahun berikutnya.

Sekalipun para ulama menggalakkan untuk puasa pada hari kesembilan (Tasu’a), namun tidaklah menjadi satu kesalahan jika hanya berpuasa pada hari Asyura. Dan sekiranya tidak mahu berpuasa pada hari Tasu’a bagi mengiringi 10 Muharam, maka disunatkan agar berpuasa pada 11 Muharam.

Antara kaedah puasa hari Asyura ialah perlu diiringi dengan puasa 9 Muharam atau 11 Muharam.

Para ulama telah menyatakan, antara hikmah disunatkan berpuasa pada hari Tasu’a yang mengiringi puasa hari Asyura adalah sebagai satu ihtiyat iaitu langkah berhati-hati kerana bimbang berlakunya kesilapan pada menetapkan awal bulan.

Bukan itu sahaja, malah ia bertujuan membezakan kita dengan puasa orang Yahudi agar tidak tasyabbuh, kerana mereka hanya berpuasa pada hari Asyura. Selain itu, dengan berpuasa pada hari Tasu’a juga ia mengelakkan dari berpuasa pada satu hari yang ditegah Baginda seperti hari Jumaat.

Kaedah Tepat Berpuasa

Maka yang demikian itu, terdapat beberapa cara dalam melaksanakan puasa hari Asyura iaitu dibolehkan untuk berpuasa pada hari Asyura sahaja atau berpuasa pada hari Tasu’a mengiringi  hari Asyura.

Cara yang ketiga adalah berpuasa pada hari Asyura dan 11 Muharam. Bagaimanapun bagi imam Syafie, berpuasa selama tiga hari iaitu 9, 10 dan 11 Muharam adalah lebih baik.

Selain mendapat pahala sunat atas ibadah tersebut, mereka yang berpuasa pada hari itu juga akan diampunkan dosanya yang lalu sebagaimana riwayat dari Abi Qatadah,

“Rasulullah ditanya tentang puasa pada hari Asyura, Baginda menjawab, “Sesungguhnya aku mengharapkan Allah akan menghapuskan dosa satu tahun yang lalu.” HR Muslim

Oleh yang demikian, bagi yang ingin berpuasa pada hari tersebut ia sememangnya dialu-alukan kerana mengikut sunnah Baginda s.a.w. Namun bagi yang tidak ingin berpuasa tidak ada kesalahan baginya. Wallahu a’lam

______________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Syarahan Perdana Tokoh Maal Hijrah 1448H Beri Fokus Kepada Mesej Keamanan & Peradaban Kontemporari

PERISTIWA Maal Hijrah tidak seharusnya dibiarkan berlalu sekadar penceritaan lipatan sejarah dan sambutan tahunan semata-mata, sebaliknya ia perlu diangkat...

More Articles Like This