Warkah Nabi s.a.w. kepada Heraklius Pemerintah Rom

Dari Penulis

Bismillahirrahmaanirrahim

Daripada Muhammad, hamba dan Rasul Allah kepada Heraklius, Pemerintah Rom. Salam ku atas orang yang mahu menerima petunjuk. Amma ba’du, sesungguhnya saya mengajak anda menganut ajaran Islam. Masuklah Islam nescaya anda selamat dan Allah akan memberikan pahala Nya kepada anda sebanyak dua kali.

Jika menolak, maka anda menanggung seluruh dosa orang-orang Aries. Wahai Ahli Kitab, marilah berpegang kepada suatu kalimah yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa tidak kita menyembah kecuali kepada Allah.

Dan tidak kita menyekutukan Dia dengan sesuatu pun. Dan tidak pula sebahagian kita menjadikan sebahagian yang lain sebagai Tuhan selain Allah. Jika mereka berpaling, maka katakanlah kepada mereka, “Saksikanlah bahawa kami adalah orang-orang yang berserah diri kepada Allah”.

Begitulah bunyi surat yang dikirim oleh Rasulullah s.a.w. kepada Heraklius Pemerintah Rom yang beragama Nasrani. Surat tersebut disampaikan kepada Heraklius oleh Dihyah bin Khalifah al-Kalbiy seorang sahabat daripada suku Khazraj yang memeluk Islam pada zaman awal.

Heraklius yang pemerintahannya meliputi kira-kira separuh dunia telah berjaya mengalahkan kerajaan Parsi dan mengembalikan salib di Baitulmuqaddis. Ketika itulah tiba surat dari Rasulullah ini.

Sebagai pemerintah kerajaan yang besar dan seorang Ahli Kitab, penganut agama Nasrani, Heraklius adalah seorang yang bijaksana dan mengetahui akan muncul seorang nabi setelah Nabi Isa a.s.

Malah ada yang mengatakan beliau boleh membaca apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Sebelum itu beliau sering bermimpi akan kemunculan Raja Khitan dan ini merisaukannya.

Bagaimanapun para penasihatnya dalam mentafsirkan mimpinya itu memberitahu beliau tidak perlu bimbang kerana tidak ada umat yang berkhitan kecuali orang-orang Yahudi yang pada masa itu berada di bawah kekuasaan Heraklius.

Sebelum beliau sendiri menerima surat daripada Rasulullah, Heraklius sudah pun mengetahui tentang kemunculan seorang nabi berketurunan Arab Quraisy dan pengikutnya berkhitan. Penguasa Busyra sebuah wilayah di negeri Syam jajahan Rom pernah menunjukkan surat yang diterimanya daripada Rasulullah.

Malah utusan yang menghantar surat itu juga di bawa menghadap Heraklius. Apabila beliau menyuruh pakaian utusan itu ditanggalkan, didapati lelaki Arab itu berkhitan. Maka kata Heraklius,

“Inilah mimpi yang saya lihat itu”

Perasaan ingin tahu Heraklius bertambah membara, lalu beliau memerintahkan ketua pengawalnya pergi ke negeri Syam dan membawa seseorang yang berasal daripada kaum Nabi s.a.w.

Ketua pengawal itu kemudian membawa beberapa orang dari Gaza dan antara mereka ialah Abu Sufyan. Kepada mereka, Heraklius bertanya, siapakah yang paling dekat nasabnya dengan orang yang mengaku sebagai nabi itu. Maka jawab Abu Sufyan,

Saya adalah orang yang nasabnya paling dekat dengannya”.

Abu Sufyan ditanya dengan berbagai soalan. Antaranya nasab keturunan Rasulullah adakah Baginda berketurunan raja, pengikutnya miskin atau kaya, bertambah atau berkurang, dan apakah ajaran yang dibawanya.

Abu Sufyan menjawab dengan jujur dan antaranya berkata,

“Dia berkata agar beribadah kepada Allah. Jangan menyekutukan Nya sedikit pun dan tinggalkan perkataan yang diucapkan bapa-bapa kamu. Dia juga menyuruh kami mengerjakan solat, berkata jujur, menjauhi perbuatan kotor dan menyuruh kami menyambung silaturahim”.

Setelah mendengar jawapan-jawapan yang diberikan oleh Abu Sufyan, Heraklius antara lain berkata,

“Ketahuilah, jika yang kamu katakan itu benar nescaya dia akan menguasai tempat berpijak kedua-dua tapak kakiku ini. Saya sebelumnya sudah menduga dia akan muncul, tetapi tidak menyangka bahawa dia datang daripada bangsa kamu orang-orang Arab.

“Sekiranya saya boleh keluar dari sini, nescaya saya berusaha untuk bertemu dengannya. Dan seandainya saya berada di sisinya, pasti saya akan membasuh kedua-dua tapak kakinya.”

Surat Rasulullah ini memberi impak yang besar kepada kerajaan Rom. Heraklius memanggil para pembesarnya termasuk ketua-ketua agama serta panglima-panglima perang dan bertanyakan pandangan mereka mengenai Islam dan mengikuti Nabi s.a.w.

Bagaimanapun para pembesar Rom menolaknya mentah-mentah. Mereka, Ahli Kitab meyakini nabi yang ditunggu adalah daripada keturunan Nabi Ishak bukan Nabi Ismail. Bagi mereka, bangsa Arab lebih rendah darjatnya.

“Adakah kita berada di bawah kaki tangan orang-orang Arab? Kenapa kita harus berbuat begitu? Bukankah kita bangsa yang paling besar kerajaannya, paling banyak orang dan paling luas daerah kekuasaannya?” Kata mereka dengan angkuh

Heraklius juga mencadangkan mereka membayar jizyah setiap tahun dan memberikan wilayah Syria kepada Nabi s.a.w. tetapi semua cadangan itu ditolak oleh para pembesar dan penasihatnya.

Beliau sendiri sebenarnya agak cenderung mengakui kebenaran nabi dari Arab itu. Sayang sekali beliau tewas dengan desakan kaumnya dan mengutamakan kuasa yang dimilikinya 

Ciri-ciri utusan pilihan Nabi s.a.w.

Dalam memilih utusan untuk bertemu para pembesar dan raja, Rasulullah meletakkan beberapa syarat. Sabda Baginda s.a.w.,

“Jika kalian mengirim utusan kepadaku, maka pilihlah seorang yang baik tubuhnya, tampan dan bagus namanya” (HR Ahmad)

Dihyah bin Khalifah al-Kalbiy yang ditugaskan oleh Rasulullah sebagai utusan menemui Heraklius adalah seorang yang tampan, cerdas, bersifat mulia lagi tidak remeh dipandang orang.

Dihyah juga amat dekat dengan Baginda s.a.w., menyaksikan perkembangan dakwah Islam dari awal dan peperangan-peperangan yang dilalui kaum Muslimin. Beliau adalah salah seorang daripada golongan madrasah Rasulullah s.a.w. di Madinah. Wallahu a’lam

____________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Pelan Induk JS-SEZ: Bangkitkan isu bukan untuk mencela atau salahkan mana-mana pihak – Onn Hafiz

MENTERI Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan kenyataan beliau berhubung Pelan Induk Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) bukan...

More Articles Like This