SEDANIA Innovator Berhad menerusi salah satu anak syarikatnya, Offspring Inc. Sdn. Bhd. terus berkembang pesat di persada antarabangsa dengan pembukaan di lima pasaran baharu iaitu Belarus, Armenia, Kazakhtan, Kyrgyzstan dan Moldova.
Kemasukan syarikat itu ke lima pasaran baharu berkenaan berikutan pembukaan laman web Offspring yang telah dilancarkan di Rusia.
Buat masa ini, Offspring telah berada di 17 negara eksport dan empat buah wilayah termasuk Amerika Utara, Afrika, Eropah dan Asia.
Pengasas dan Pengarah Urusan Sedania, Datuk Azrin Mohd. Noor berkata, Offspring dianggarkan menjana sebanyak RM26 juta setahun hasil daripada pasaran tersebut untuk tahun berikutnya.
Kata beliau, kadar kelahiran tahunan di lima negara tersebut dianggarkan sebanyak 790,000 bayi dan dijangka terus meningkat.
“Kami sangat teruja dengan lima negara baharu ini kerana usaha ini didorong sepenuhnya oleh rakan antarabangsa kami di Rusia.
“Permintaan untuk produk premium berkualiti tinggi semakin meningkat di negara-negara jiran dan Rusia telah mengambil langkah awal dalam menyampaikannya kepada pengguna,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: Syarikat bersekutu Sedania, ESPL peroleh tanda dagang di Eropah
Rusia merupakan satu daripada rakan niaga utama Sedania yang mencatatkan pertumbuhan mantap lebih daripada 250 peratus sejak tahun 2019.
Kazakhstan juga merupakan salah sebuah negara yang berpotensi tinggi untuk Offspring apabila mencatatkan kenaikan ketara dalam tahap pendapatan keseluruhan per kapita hampir kepada AS$27,000 tahun lalu.
Mengulas lanjut, Azrin berkata, trend peningkatan permintaan untuk produk organik yang selamat bagi bayi baru lahir semakin keliharan di Kazakhstan.
“Trend ini dijangka menarik lebih ramai ibu bapa untuk memilih produk selamat yang berkualiti tinggi bagi bayi mereka.
“Offspring melalui produk organik dan mesra alamnya amat sepadan dengan permintaan yang semakin meningkat ini,” katanya.
Menurut Sedania, akaun media sosial seperti Instagram dan Facebook telah ditetapkan untuk setiap negara tersebut bagi memastikan pengguna mendapatkan maklumat yang tepat dan cepat mengenai produk terkini Offspring.
Semua pembelian dari negara-negara itu termasuk Rusia dibuat menerusi beberapa platform dalam talian terkenal seperti wildberries.ru dan ozon.ru.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

