FELDA memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Encorp Bhd (Encorp) bagi melaksanakan pembangunan perumahan untuk kakitangan FELDA di sebahagian besar tanah rancangan di seluruh negara.
Projek berkenaan sebagai pemangkin meningkatkan moral kakitangan FELDA yang selama ini menetap di rumah-rumah kayu era 60 dan 70-an, serta tidak lagi sesuai untuk didiami.
Perkara itu diakui Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang melihatnya sebagai satu lonjakan baharu ketika kebanyakan rumah-rumah peneroka lebih baik jika dibandingkan dengan kakitangan berkenaan.
Menurut beliau, rumah-rumah yang dianggap sederhana itu perlu digantikan dan kakitangan terbabit perlu diberi status lebih baik termasuk perumahan.
“Selama ini mereka tinggal di rumah-rumah (era) 60 dan 70-an. Rumah-rumah kayu dan tak sesuai (untuk) tinggal (didiami),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan pemeteraian MoU antara FELDA dan Encorp di ibu negara hari ini.
FELDA diwakili Pengarah Besarnya, Datuk Dr. Suzana Idayu Wati Osman manakala Encorp oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Ahmad Harmizi Mohd Taib.
Turut hadir menyaksikan MoU itu Pengerusi Encorp, Mohd Yusmadi Mohd Yusoff.
Ahmad Shabery berkata, Encorp dipilih sebagai kontraktor kerana mempunyai rekod baik dan pengalaman dalam pembangunan projek kediaman.
Jelasnya, projek pembangunan perumahan kakitangan itu menggunakan peruntukan FELDA sendiri.
Terdahulu Encorp memaklumkan, pembinaan rumah kakitangan FELDA ini menggunakan kaedah reka dan bina membabitkan sejumlah 189 unit.
Fasa satu melibatkan 62 unit manakala fasa dua (63 unit) dan fasa tiga (64 unit).

