ARENA badminton dunia dikejutkan dengan berita legenda Indonesia, Taufik Hidayat mendakwa pernah cuba disogok untuk kalah kepada Datuk Lee Chong Wei semasa perlawanan Separuh Akhir Sukan Asia Doha 2006.
Pendedahan Taufik yang juga pemenang pingat emas Sukan Olimpik Athens 2004 itu dilakukan dalam wawancara bersama stesen televisyen Indonesia, baru-baru ini.
Menurut Taufik, beliau telah ditawarkan sebanyak 400 juta Rupiah (RM117,000) oleh seorang pegawai pasukan Malaysia yang juga bekas pemain kebangsaan untuk tewas dalam perlawanan tersebut.
Taufik bagaimanapun berjaya menewaskan legenda badminton Malaysia itu dan seterusnya mengalahkan Lin Dan untuk merangkul pingat emas.
Ganjaran itu adalah dua kali ganda lebih tinggi daripada RM60,000 yang dijanjikan Indonesia bagi pemenang pingat emas Sukan Asia.
Menurut laporan Malaysiakini yang memetik New Straits Times, Chong Wei yang terkejut dengan pendedahan itu segera menghubungi Taufik bagi bertanyakan mengenai isu tersebut.
Baca artikel berkaitan: “Zii Jia, usah kecewa tewas dengan Chen Long. Dia bukan calang-calang juara, muka jer ‘innocent’” – Chong Wei
Chong Wei berkata, beliau tidak tahu-menahu mengenai isu sogokan itu dan hanya sedar selepas berita mengenai pendedahan Taufik tersebar.
“Taufik adalah kawan saya, jadi saya segera menghubunginya. Dia memberitahu saya apa yang berlaku.
“Syukurlah bagi orang seperti Taufik dan saya, maruah negara sentiasa diutamakan,” kata pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu.
Walaupun mengetahui siapa individu yang dimaksudkan Taufik, namun Chong Wei tidak berhasrat menamakan dan memalukan individu berkenaan.
Jelas Chong Wei, beliau sendiri pernah didatangi individu lain yang mahukannya mempengaruhi perlawanan sewaktu meniti zaman kegemilangan tetapi tidak pernah terlibat dengan kerja-kerja sedemikian.
“Saya percaya kita semua harus ke hadapan. Saya tidak mahu menamakan atau memalukan sesiapa,” kata beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

